Perlu kerjasama antarabangsa perkukuh industri wakaf

Perlu kerjasama antarabangsa perkukuh industri wakaf

KERJASAMA antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkasakan filantropi Islam dan pemberdayaan ekonomi melalui instrumen wakaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM) merupakan agensi wakaf di peringkat kebangsaan yang proaktif dalam usaha meningkatkan tabung wakaf melalui pelaksanaan projek-projek wakaf berbentuk ekonomi, pengurusan aset-aset komersial wakaf dan pengurusan dana Wakaf Tunai Malaysia.

Menerusi sesi lawatan kerja ke Indonesia dan jemputan menghadiri Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Zakat Dunia dan Forum Waqf Ke-13 pada 30 Oktober hingga 3 November lalu, telah berlangsung beberapa sesi menandatangani surat hasrat kerjasama YWM bersama beberapa badan wakaf di Indonesia. Kerjasama ini adalah sebagai salah satu inisiatif YWM dalam memperkasakan dan mengangkat wakaf di mata dunia.

Antara kerjasama yang termeterai adalah seperti berikut:

YWM bersama Badan Wakaf Indonesia (BWI) menjalin kerjasama melibatkan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan wakaf dan pembangunan kepakaran serta khidmat nasihat dalam bidang wakaf.

YWM dan Sinergi Foundation Indonesia (SF) akan memberi fokus terhadap perkongsian kepakaran dalam perniagaan kontemporari yang berteraskan wakaf, menerokai potensi pelaburan wakaf di Indonesia, kolaborasi dalam pembangunan wakaf bersifat ekonomi dan pengagihan dana manfaat wakaf di YWM dan SF.

YWM dan World Zakat and Waqf Forum (WZWF) yang menfokuskan kepada pengukuhan wakaf seterusnya sebagai platform untuk mengangkat agenda ini di mata dunia. YWM dan Universiti Islam Bandung (UNISBA) akan melaksanakan penyelidikan dan pendidikan berkaitan wakaf serta mempromosi pembangunan wakaf di kedua-dua negara.

Menerusi kerjasama ini jelas memperlihatkan nilai kebersamaan antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkasakan filantropi Islam dan pemberdayaan ekonomi melalui instrumen wakaf. Dukungan bersama ini bakal membuka peluang kepada perkongsian ilmu dan kepakaran, amalan terbaik dan pelaksanaan projek produktif yang dapat melestarikan industri wakaf bagi kedua-dua negara.

Instrumen wakaf memainkan peranan yang penting dalam pengagihan semula kekayaan dalam kalangan masyarakat. Wakaf ekonomi yang bersifat komersial menjadi fokus utama YWM dalam menggerakkan wakaf produktif agar dapat menghasilkan pulangan yang akhirnya akan dikembalikan kepada masyarakat.

YWM amat komited untuk meningkatkan peranan sektor wakaf dalam usaha pembasmian kemiskinan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan infrastruktur, dan sosioekonomi rakyat. Pemerkasaan sosioekonomi ummah dan pewujudan legasi madani melalui instrumen ekonomi Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya jika semua pihak turut bersama-sama menyokong usaha ini.

YWM dengan penuh iltizam akan terus mengorak langkah memperkasakan wakaf secara global selaras agenda nasional iaitu wakaf menyumbang 10 peratus kepada pengembangan sektor kewangan Islam menjelang tahun 2030.-UTUSAN

YAYASAN WAQAF MALAYSIA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN