KUALA LUMPUR: Isu pembatalan perolehan misil antikapal (NSM) membabitkan syarikat pertahanan dari Norway Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dijangka mengambil masa yang panjang dan rumit untuk diselesaikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu berlaku berikutan tiada sebarang kerjasama daripada kerajaan Norway walaupun Malaysia telah memohon bantuan berhubung kegagalan mendapatkan lesen eksport bagi peluru berpandu berkenaan.
“Kami tidak melihat perkara ini dapat diselesaikan segera disebabkan pihak-pihak yang terlibat.
“Pertama, kita langsung tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Norway untuk membantu kita, tiada langsung, walaupun ia adalah pihak yang bertanggungjawab atas masalah ini kerana tidak membenarkan lesen eksport dikeluarkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.
Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperuntukkan untuk kegunaan negara.
Keputusan Norway itu dijangka memberi kesan terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara khususnya membabitkan program pemodenan kapal LCS.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati projek LCS mengalami kelewatan sebanyak 7.55 peratus berbanding jadual setakat 25 Jun, sekali gus meletakkan penyerahan fizikal LCS 1 dalam risiko.
Hal ini berikutan misil NSM masih belum diselesaikan berikutan pembatalan kekal permit eksport oleh kerajaan Norway.
Kementerian Pertahanan dalam maklum balas terhadap laporan itu berkata, LCS 1 tidak akan dapat beroperasi pada keupayaan penuh tanpa sistem berkenaan dipasang, walaupun ia boleh mempertimbangkan penyerahan bersyarat sementara kontraktor kekal terikat mengikut kontrak untuk memasang dan mengintegrasikannya.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari itu boleh menjejaskan jadual penyerahan terawal pada 26 Ogos, atau sasaran yang dipinda pada 26 Disember.
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, kapal LSC akan tetap dilengkapi dengan sistem persenjataan mengikut spesifikasi yang ditetapkan tanpa bergantung kepada keputusan tuntutan yang dibuat terhadap syarikat berkenaan.
“Maknanya, saya perlu membawa perkara ini kepada kerajaan untuk membincangkan jumlah peruntukan yang diperlukan bagi menggantikan misil yang gagal dibekalkan itu dengan misil baharu.
“Proses ini memerlukan pelbagai pertimbangan, antaranya dari segi jangka masa penghantaran serta sama ada misil baharu itu boleh diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur kapal yang sudah hampir siap,” ujarnya. – UTUSAN











