Mohon, terima maaf cara sebar kasih sayang

Mohon, terima maaf cara sebar kasih sayang

JADIKAN sikap dan budaya memohon serta menerima maaf sebagai satu cara menyebarkan kasih sayang sesama Muslim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMOHON dan menerima kemaafan merupakan amalan mulia di sisi Allah SWT. Hal ini merupakan keadaan luar biasa dalam memartabat karamah insaniah yang tinggi.

Segelintir manusia mungkin sukar untuk menerima permohonan maaf jika sesuatu perkara yang berlaku membekas ke dalam hati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Al-Imran, ayat 133-134).

Memaafkan merupakan perbuatan mulia yang sangat dituntut dalam agama Islam jika kemaafan itu datang dari hati nurani yang ikhlas untuk memperbetulkan kembali kesilapan lampau. Sewajarnya perbuatan sedemikian harus dipuji kerana memiliki sifat mulia yang dimiliki oleh pemberi maaf.

Hal ini berjaya dibuktikan melalui kepemimpinan Nabi Muhammad SAW tatkala berjaya membuka kota Mekah dan memberikan kemaafan kepada penentangnya suatu ketika dulu sehingga berjaya ‘mengikat’ hati nurani penduduk Mekah terhadap sikap serta akhlak Rasulullah SAW yang mulia.

Kedudukan insan ‘penerima maaf’ mempunyai makam luar biasa dalam sejarah peradaban manusia. Insan yang terdidik dengan adab dan akhlak mulia mudah faham, yakin serta menjadikan budaya menerima maaf sesuatu yang tidak sukar dipraktikan ketimbang golongan yang suka menambah bibit kebencian, apa tah lagi mereka yang suka menyemarakkan api permusuhan sesama Muslim.

Sewajarnya hubungan Muslim perlu dieratkan dengan kekuatan iman dan Islam namun api kebencian dan sikap permusuhan yang melampaui batas menjadikan golongan itu kekal dalam perbalahan serta perseteruan yang diimpikan iblis dan syaitan.

Kekuatan Muslim akan terzahir melalui hubungan kasih sayang dan sikap saling memohon dan menerima kemaafan dengan hati yang ikhlas tanpa mengulangi kesilapan lampau.
Jadikan sikap dan budaya memohon serta menerima maaf sebagai satu cara menyebarkan kasih sayang sesama Muslim.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN