MASALAH lembu berkeliaran yang menyebabkan kerosakan tanaman, ancaman keselamatan dan pencemaran persekitaran di Felda Lembah Klau, Raub, Pahang berlarutan lebih setahun. Aduan rasmi dibuat pada 14 November 2023 dan 9 Julai lalu, namun tiada penyelesaian konkrit daripada pihak berwajib.
Walaupun pemantauan dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dua minggu lalu, lembu-lembu ini terus berkeliaran, merosakkan tanaman, mencemarkan persekitaran dengan najis bertaburan di atas jalan serta mengundang bahaya kepada penduduk. Masalah ini membebankan penduduk yang bergantung kepada hasil pertanian dan turut menjejaskan kebersihan kawasan sekitar.
Lembu-lembu ini berkeliaran di kawasan rumah dan ladang, merosakkan tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil pertanian lain serta menimbulkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Najis lembu bertaburan di atas jalan dan sekitar kawasan perumahan, menyebabkan bau busuk, kekotoran dan risiko kesihatan kepada penduduk, terutama kanak-kanak.
Tindakan tegas ke atas pemilik lembu yang cuai, mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Kerbau dan Lembu 2001 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi bersepadu diperlukan melibatkan Jabatan Veterinar, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangkap lembu berkeliaran serta memastikan pemilik bertanggungjawab.
Kempen kesedaran perlu diadakan untuk pemilik ternakan mengenai tanggungjawab menjaga lembu. Dialog bersama penduduk dan pihak berkuasa untuk membincangkan langkah pencegahan dan penyelesaian isu ini.
Selain itu, bersihkan kawasan dengan menggerakkan pasukan kebersihan bagi membersihkan najis lembu yang bertaburan serta memastikan kawasan Felda kekal bersih dan selamat.
Masalah lembu berkeliaran ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan hasil tanaman penduduk, tetapi juga mencemarkan persekitaran dengan najis bertaburan. Ia memerlukan tindakan segera dan lebih tegas daripada pihak berkuasa. Dengan kerjasama dan penguatkuasaan yang lebih baik, kami yakin masalah ini boleh diselesaikan demi kesejahteraan penduduk Felda Lembah Klau.-UTUSAN
ZAKARIA ISMAIL
Kampung FELDA Lembah Klau,
Raub, Pahang










