UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dimansuhkan sebagai langkah untuk menumpukan perhatian kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Walau bagaimanapun, terdapat pandangan agar peperiksaan ini dikembalikan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih serius dan berkesan.
Peperiksaan ini akan menjadi sasaran kepada pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dan menilai tahap pencapaian mereka. Ketiadaan peperiksaan berpusat membuatkan pelajar kurang bermotivasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh kerana tiada penanda aras yang jelas.
Bahkan, ia juga meningkatkan keseriusan ibu bapa dalam memastikan anak-anak fokus pada pendidikan. Dengan demikian, mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk membantu anak-anak dalam menghadapi pembelajaran, sama ada melalui bimbingan di rumah atau menghantar ke kelas tambahan.
Peperiksaan berpusat seperti ini dapat memastikan sukatan pelajaran dihabiskan tepat pada masanya. Guru akan merasa lebih terdorong untuk menghabiskan setiap topik supaya pelajar mempunyai pengetahuan yang lengkap sebelum menghadapi peperiksaan.
Dalam masa sama, dengan adanya peperiksaan menjadikan suasana pembelajaran lebih seimbang. Ia membolehkan pelajar merasa tekanan yang sederhana dalam menghadapi ujian, yang mana akan melatih mereka menjadi lebih tahan lasak dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.
Tanpa peperiksaan, guru di sekolah menengah sukar menilai tahap pencapaian akademik pelajar dengan tepat, yang mungkin menimbulkan cabaran dalam menyediakan pembelajaran sesuai untuk pelajar.
Ada satu cadangan yang boleh dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan supaya lebih adil untuk semua pihak iaitu kecemerlangan pelajar ditentukan dengan mengambil kira 50 peratus peperiksaan UPSR atau PT3 dan 50 peratus lagi PBD. Langkah ini boleh memberi kelebihan kepada pelajar yang lebih cenderung kepada pentaksiran berterusan dan mereka yang mampu menguasai topik dari semasa ke semasa.
Selain itu, sistem gabungan ini juga akan mengurangkan tekanan pelajar dalam menghadapi peperiksaan kerana mereka masih boleh memperbaiki markah menerusi PBD. Dalam masa sama, ia akan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil serius setiap penilaian kerana mereka tahu setiap usaha akan memberi kesan kepada keputusan akhir.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong, Johor










