BERDASARKAN penurunan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 oleh Reporters Without Borders, adalah kritikal untuk mengakui keperluan mendesak dalam menangani kemerosotan kebebasan media di Malaysia.
Jelas bahawa, walaupun pada tahun ini, tapisan berlebihan dan kewujudan undang-undang yang menindas terus menjadi ancaman kepada kebebasan media dan hak wartawan untuk bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Satu kebimbangan yang semakin meningkat mengancam landskap media Malaysia baru-baru ini adalah keganasan ekonomi dalam bentuk gaji rendah, keadaan kerja yang tidak selamat dan ketidakjaminan pekerjaan. Pelbagai isu baru-baru ini memburukkan lagi kelestarian ekonomi wartawan dalam landskap media Malaysia.
Antaranya termasuk penstrukturan semula dan pemberhentian pekerja di beberapa portal utama dalam talian. Kami juga menyaksikan beberapa portal gagal membayar gaji sekumpulan wartawan.
Sebagai agen demokrasi yang menyokong media, keadaan ekonomi wartawan yang tidak mampan merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima.
Bagi melaksana peranan dengan berkesan, mereka perlu diberikan imbuhan yang adil serta keadaan kerja yang layak dan selamat.
Tambahan pula, kekurangan kebertanggungjawaban terhadap tindakan yang dikenakan kepada wartawan sepanjang kerjaya telah lama tidak ditangani di Malaysia. Pada bulan Ogos, tiga wartawan dipanggil untuk siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung sumber maklumat bagi artikel mengenai dakwaan rombakan pegawai atasan polis. Ini adalah satu penghinaan terhadap prinsip perlindungan sumber yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang membolehkan wartawan melaksanakan peranan untuk memaklumkan orang awam dengan berkesan, sekali gus menjejaskan keupayaan dalam menjalankan tugas dan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat.
Kekurangan kehendak politik untuk memulakan pembaharuan undang-undang yang konstruktif juga terus memupuk budaya ketakutan apabila undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1949, Akta Rahsia Rasmi, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terus menggalakkan penapisan sendiri kerana bimbang terhadap tindakan undang-undang dan kerenah birokrasi.
Mengiktiraf kepentingan media dan mengekalkan kedudukan mereka dalam masyarakat mestilah dipegang pada tahap tertinggi dalam semua institusi di Malaysia.
Kami mendesak agar Majlis Media Malaysia (MMC) sebagai badan kawal selia yang bebas dan melibatkan pelbagai pihak industri ditubuhkan tanpa berlengah lagi, serta diberikan mandat kuasa untuk melindungi wartawan secara undang-undang, fizikal, ekonomi dan sosial selain integriti landskap media kita.
Hari Antarabangsa untuk Menamatkan Impunitas bagi Jenayah Terhadap Wartawan dan Festival Solidariti Media adalah panggilan mendesak kepada pembuat dasar dan ketua syarikat media, pengabaian hak pekerja wartawan, gangguan terhadap agen demokrasi yang menjalankan tugas mereka, dan ancaman terhadap landskap media tidak boleh dibiarkan berterusan.-UTUSAN
CENTRE FOR INDEPENDENT JOURNALISM (CIJ)
KESATUAN KEBANGSAAN WARTAWAN MALAYSIA (NUJM)
GERAKAN MEDIA MERDEKA MALAYSIA (GERAMM)










