Didik generasi masa kini dengan efektif

Didik generasi masa kini dengan efektif

SEBAGAI ibu bapa, dinasihatkan supaya tidak terlalu memanjakan dengan membiarkan sahaja setiap perilaku negatif oleh anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJORITI guru di setiap peringkat bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah bahkan pensyarah universiti juga membicarakan isu yang sama mengenai kesukaran dalam mendidik dan mengajar generasi masa kini.

Situasi ini juga tidak terkecuali di tadika. Lazimnya murid tadika mudah untuk dibentuk dan diberi arahan meskipun mereka sangat aktif. Di peringkat awal ini, mereka masih lagi mempunyai rasa takut dan hormat pada guru.

Masalah timbul apabila pergaulan sesama rakan sebaya iaitu murid yang memiliki abang atau kakak di sekolah rendah atau menengah cenderung untuk memiliki tingkah laku dan cara bergaul yang sedikit berbeza. Maka, tidak hairanlah ada murid tadika yang menunjukkan tingkah laku serta percakapan yang kurang sopan dan tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.

Perbezaan ketara ini disebabkan pengaruh negatif dari segi tutur kata dan tingkah laku yang dipelajari daripada abang atau kakak mereka. Ia kerana kanak-kanak akan terpengaruh dengan apa yang mereka lihat. Sebagai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya, sudah pasti mereka tiada masa untuk mengawasi anak-anak mereka ini.

Lebih parah lagi, peranti mudah alih seperti telefon pintar adalah medium utama yang diberikan kepada anak-anak supaya ibu bapa ini tidak terganggu untuk menyiapkan kerja. Ini lebih memberi kesan negatif kerana pendedahan yang diperolehi daripada telefon pintar tersebut jelas memberi implikasi negatif pada perkembangan anak-anak mereka.

Guru dan tenaga pengajar masa kini dibebani dengan tugas-tugas tambahan kononnya demi menjamin kualiti dan keberhasilan pelajar. Tetapi, isu sosial dan tingkah laku pelajar yang semakin membimbangkan ini menjadikan kandungan pembelajaran semakin sukar untuk disampaikan semasa sesi persekolahan.

Para tenaga pengajar kini turut terikat dengan peraturan baharu dalam sistem pendidikan.

Hukuman terhadap setiap kesalahan tidak boleh melibatkan sebarang sentuhan fizikal malah juga emosi murid.

Jika guru menegur atau dihukum atas kesalahan yang murid itu sendiri dilakukan, murid-murid dan juga ibu bapa akan mengambil tindakan terhadap guru tersebut. Situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana tanpa hukuman dan pengajaran, murid itu sendiri tidak akan sedar kesalahan dan implikasi terhadap perlakuan mereka.

Ibu bapa perlulah bersikap lebih terbuka dalam berhadapan dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah. Pihak sekolah tidak akan sesuka hati memberi hukuman dan melaporkan kesalahan anak-anak. Jika benar anak tersebut melakukan kesalahan, akur dan bersedialah untuk mendengar cadangan daripada pihak sekolah.

Sebagai ibu bapa, dinasihatkan supaya tidak terlalu memanjakan dengan membiarkan sahaja setiap perilaku negatif oleh anak-anak. Setiap kesalahan, walaupun kecil seharuslah diberi hukuman. Kemudian diperjelaskan kenapa ia salah.

Pokok pangkalnya, ramai yang tidak sedar bahawa peranan ibu bapa adalah kunci utama dalam menyediakan sahsiah anak-anak yang baik. Didikan seperti ini jika ditanam sejak awal perkembangan kanak-kanak, nescaya akan membentuk sahsiah murid yang lebih positif.

Lantas, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka akan lebih mudah dikawal dan senang untuk guru mendidik serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang lebih penting untuk perkembangan dunia. – UTUSAN

SHAHRUL AFFENDI ISHAK
Guru Tadika Genius Aulad

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN