DALAM era yang dibawa arus kemodenan kini, tabiat membaca dalam kalangan remaja kian berubah. Jika dahulu buku fizikal menjadi medium utama untuk mendapatkan ilmu dan hiburan, tetapi kini buku digital semakin mendapat tempat di hati golongan muda.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perubahan ini. Salah satu faktor utama adalah kerana kemudahan akses tanpa sempadan. Dengan hanya menggunakan satu klik, mereka boleh memuat turun pelbagai judul dan tema buku dari seluruh pelusuk dunia tanpa perlu pergi ke kedai buku atau perpustakaan.
Tambahan pula, dengan adanya platform seperti Google Books dan ELIB, semakin memudahkan remaja untuk membaca di mana-mana dan pada bila-bila masa melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar atau tablet.
Ini berbeza dengan buku fizikal yang kadangkala memerlukan masa dan usaha untuk mendapatkannya. Kemudahan ini menjadi daya tarikan besar bagi generasi yang terbiasa dengan kesegeraan dalam mendapatkan maklumat dan hiburan.
Tambahan, buku fizikal kebiasaannya lebih mahal berbanding buku digital ekoran melibatkan kos cetakan, pengedaran dan penjualan. Bagi remaja yang sering kali mempunyai bajet yang terhad, banyak e-buku yang boleh diperoleh secara percuma. Sudah terang lagi bersuluh ini akan memberi peluang kepada remaja untuk mengakses pelbagai bahan bacaan tanpa perlu berbelanja besar.
Buku digital tidak memerlukan penggunaan kertas, yang bermaksud lebih sedikit pokok ditebang untuk tujuan pencetakan. Remaja masa kini juga lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar. Pilihan ini mungkin lebih menarik bagi remaja yang prihatin terhadap kelestarian alam.
Namun begitu, adakah ini bermakna buku fizikal akan pupus suatu hari nanti? Tidak semestinya. Buku fizikal masih mempunyai nilai sentimental dan value yang sukar ditandingi oleh buku digital. Bagi sesetengah orang, pengalaman mencium bau kertas dan menyelak halaman masih memberi kepuasan yang tidak boleh digantikan oleh skrin.
Dalam dunia yang semakin moden, pilihan membaca remaja juga berubah mengikut arus teknologi dari semasa ke semasa. Buku digital menawarkan kemudahan, kos yang lebih rendah dan ciri-ciri interaktif yang menjadikannya pilihan yang lebih menarik bagi semua golongan masyarakat. Akan tetapi, buku fizikal masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati pembaca yang menghargai keunikan pengalaman membaca secara tradisional. Walaupun pelbagai pilihan pembacaan yang ditawarkan, yang paling penting adalah minat untuk terus membaca perlulah disuburkan dalam kalangan remaja tidak kira medium apa pun yang mereka pilih.-UTUSAN
NUR ‘AINA SYAZWINA BADRUL HISHAM
Fakulti Komunikasi Media Baharu,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










