Benarkah kami tidak tuntut wang?

Benarkah kami tidak tuntut wang?

PEJABAT Akauntan Negara perlu memainkan peranan dalam memastikan segala lebihan bayaran yang diletakkan di bawah Wang Yang Tidak Dituntut dapat dikendalikan dengan lebih cekap.-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH wang yang tidak dituntut semakin menjadi perhatian dalam masyarakat hari ini. Ramai yang tertanya-tanya, adakah mereka benar-benar tidak menuntut wang tersebut atau terdapat kelemahan dalam sistem perbankan dan agensi yang menguruskan lebihan wang pengguna?

Masalah ini menjadi semakin rumit apabila pengguna terpaksa melalui proses yang melecehkan hanya untuk mendapatkan kembali wang. Kes-kes seperti ini wajar diberikan perhatian oleh pihak berkuasa agar pengguna tidak terbeban dengan proses yang berbelit-belit dan kurang efisien.

Pengalaman pertama saya berkaitan lebihan bayaran kad kredit sebanyak RM350. Setelah menyedari jumlah tersebut, pihak bank menghantar penyata dan meminta saya hadir ke bank di Kuala Lumpur untuk mendapatkan kembali wang itu. Namun, saya tinggal di Batu Pahat, Johor.

Saya mencadangkan agar wang tersebut dipulangkan terus ke akaun saya, namun bank enggan melakukannya.

Pengalaman kedua pula melibatkan lebihan bayaran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebanyak RM550. Sama seperti kes pertama, lebihan wang ini tidak dikembalikan ke akaun saya sebaliknya diletakkan ke bahagian Wang Yang Tidak Dituntut. Situasi ini menimbulkan persoalan, mengapa wang pengguna perlu dipindahkan ke bahagian tersebut jika pengguna tidak pernah melepaskan hak ke atasnya?

Ramai pengguna merasakan pihak bank dan agensi berkenaan sengaja mencari jalan mudah untuk mengelak dari memulangkan wang lebihan ini secara langsung. Mereka meminta pengguna untuk menuntut di pejabat atau ke lokasi tertentu yang jauh dari tempat tinggal. Hal ini amat merugikan pengguna dari segi masa, tenaga dan kos.

Kementerian Kewangan dan Bank Negara seharusnya melihat semula peraturan ini. Prosedur yang diamalkan mungkin tidak lagi relevan dan seharusnya diselaraskan dengan keperluan semasa.

Pengguna harus dilindungi dari proses-proses yang menyusahkan dan membebankan mereka. Penambahbaikan dari segi prosedur dan sistem perlu dilakukan bagi memudahkan urusan pengembalian wang lebihan secara automatik tanpa perlu melalui proses tuntutan yang rumit.

Pejabat Akauntan Negara juga perlu memainkan peranan dalam memastikan segala lebihan bayaran yang diletakkan di bawah Wang Yang Tidak Dituntut dapat dikendalikan dengan lebih cekap. Pendekatan yang lebih mesra pengguna harus diutamakan agar tiada wang yang ‘tertinggal’ begitu sahaja tanpa pengetahuan pemiliknya. Prosedur pengembalian wang perlu lebih telus dan sistematik.

Di samping itu, teknologi boleh memainkan peranan penting dalam hal ini. Dengan sistem perbankan dalam talian yang canggih, wajar jika pihak bank dan agensi-agensi berkaitan mengemas kini sistem supaya sebarang lebihan bayaran terus dikembalikan ke akaun pengguna. Pengguna tidak lagi perlu membazir masa dan wang untuk menuntut kembali hak mereka sendiri.-UTUSAN

MANGSA KEADAAN
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN