Atasi stigma kesihatan psikososial di tempat kerja

Atasi stigma kesihatan psikososial di tempat kerja

MAJIKAN dan pihak berkepentingan perlu berkolaborasi untuk mencipta persekitaran kerja yang menyokong supaya pekerja dapat berbicara tentang isu psikososial tanpa rasa takut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2023, laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan beberapa kajian bebas agensi penyelidikan dalam negara mendapati lebih 50 peratus pekerja Malaysia mengalami tekanan kerja dan hampir 25 peratus mengalami tekanan tinggi di tempat kerja.

Jurang dalam perlindungan insurans kesihatan psikososial masih besar. Kebanyakan yang ditawarkan majikan tidak merangkumi perkhidmatan kesihatan psikososial, menjadikan pekerja terdedah, terutamanya ketika memerlukan bantuan untuk mengatasi kepenatan, kemurungan, atau kebimbangan.

Kerjasama AIA Malaysia dengan platform kesihatan psikososial digital, ThoughtFull, yang dilancarkan pada 2022, adalah satu langkah pertama ke arah memasukkan kesihatan psikososial dalam faedah insurans, memberikan akses kepada terapi dan konsultasi bagi pekerja.

Demikian juga program Pertolongan Cemas Kesihatan Psikososial Pekerjaan yang dilancarkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada Februari 2024, menyasarkan latihan untuk 10,000 pekerja dalam memberikan sokongan kesihatan psikososial kepada rakan sekerja, dengan penekanan pada intervensi awal.

Baru-baru ini, media melaporkan lebih 40,000 kakitangan awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi lantaran tuntutan kerja yang tidak realistik, kurangnya sokongan psikososial dan kurang keseimbangan di antara kerja, selain masalah kehidupan peribadi.

Sektor penjagaan kesihatan juga mengalami kes yang sangat membimbangkan. Kes seorang doktor muda di Sabah yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada Ogos lalu dan kes serupa di Pulau Pinang pada Oktober, baru-baru ini mencetuskan kemarahan awam.

Kes-kes ini menunjukkan keperluan mendesak untuk perubahan sistematik dalam cara tempat kerja di Malaysia dalam menangani kesihatan psikososial.

Sebagai langkah ke arah masa depan yang lebih baik, majikan dan pihak berkepentingan perlu berkolaborasi untuk mencipta persekitaran kerja yang menyokong supaya pekerja dapat berbicara tentang isu psikososial tanpa rasa takut. Dengan usaha yang berterusan, kita boleh membina tempat kerja yang lebih sihat dan menyokong kesejahteraan semua pekerja di Malaysia.

Ekoran itu, baru-baru ini Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melancarkan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial Pekerjaan di Tempat Kerja 2024. Garis panduan ini bertujuan untuk memberikan rangka kerja yang jelas kepada majikan dalam menilai dan mengurus risiko psikososial di tempat kerja.

Inisiatif ini secara jelas menyatakan masalah psikososial tidak boleh diabaikan dan memerlukan pendekatan sistematik yang melibatkan semua pihak. Garis panduan tersebut menyediakan panduan praktikal tentang bagaimana majikan boleh mengenal pasti faktor risiko psikososial, menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang berkesan. Ini termasuk menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan bagi pekerja yang mengalami tekanan atau kesulitan psikososial.

Dengan pelancaran garis panduan ini, kerajaan menunjukkan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mengurangkan stigma yang menghalang pekerja daripada mendapatkan bantuan. Langkah ini diharapkan dapat memperkukuhkan kerjasama antara majikan dan pekerja dalam menangani isu-isu psikososial, serta memastikan bahawa setiap individu di tempat kerja mempunyai akses kepada persekitaran yang menyokong dan sihat. – UTUSAN

DR. ISMANIZA ISMAIL
& DR. MOHD FAIZ MD. TAHIR
Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN