KECERDASAN buatan (AI) lazimnya difahami sebagai kecerdasan mengenal pasti (cognitive intelligence), yang memberi fokus kepada proses mental seperti pembelajaran dan penyelesaian masalah. Sungguhpun demikian, AI tidak memiliki emosi mahupun kesedaran seperti manusia yang dapat mengehadkan keupayaan bagi menilai dan berkelakuan mengikut landasan etika.
Kerangka seperti ini memelihara tanggapan yang berpadanan dengan hakikat bahawa AI hanya alat bagi mengendalikan tugas dan bukan pengganti kepada akal manusia. Perbezaan ini penting bagi memahami operasi AI yang harus dibangunkan supaya selaras dengan prinsip moral dan akhlak seperti yang ditarifkan oleh Islam.
Untuk mematuhi nilai dan etika Islam dalam pembangunan teknologi AI, maka teknologi ini haruslah dipacu oleh nilai yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut perihal ‘turath Islam’ (warisan Islam) harus dimasukan ke dalam bidang AI di Malaysia. Ternyata hal ini merujuk kepada tradisi, nilai, kekayaan sejarah, budaya dan pengetahuan yang telah berkembang berabad-abad lamanya.
Tambah beliau lagi, AI harus dipandu oleh nilai dan tradisi Islam, bukan hanya berteraskan model Barat serta menasihati agar ilmu mahupun akhlak Islam dapat membentuk bagaimana AI digunakan di negara Islam. Justeru, nilai-nilai Islam yang dapat diketengahkan dalam AI adalah perkara-perkara seperti adl (keadilan), akhlaq (etika), maslahah (faedah kepada masyarakat), amanah (akauntabiliti) dan darar (ketelusan dan mengelakkan kemudaratan).
Sehingga kini, belum ada sebuah negara Islam yang mengeluarkan panduan berkenaan penyelidikan dan etika dalam teknologi AI. Malaysia antara negara Islam yang sudah terlibat dalam pembangunan dan penyelidikan AI.
Garis panduan dan etika pembangunan teknologi AI yang berteraskan Islam diperlukan bagi membimbing sekali gus menjaga komuniti Islam.
Matlamat ajaran Islam yakni terdapat lima prinsip asas dalam maqasid syariah yang perlu dipatuhi agar dapat memelihara dan melindungi hak manusia iaitu, penjagaan agama (hifz al-adin), penjagaan nyawa (hifz al-nafs), penjagaan akal (hifz al-‘aql), penjagaan keturunan (hifz nasl) dan penjagaan harta (hifz al-mal). Gabungan setiap pendekatan ini dapat membantu menangani pelbagai isu kontemporari termasuklah hal yang bakal timbul hasil daripada penggunaan teknologi AI seperti etika pembangunan dan penyelidikan AI, hak dan tanggungjawab, privasi, ketidaksamarataan, keselamatan serta kepercayaan.
Kekayaan tradisi etika dan sumbangan nilai Islam dalam bidang sains dan teknologi telah meletakkan umat Islam dalam kedudukan yang unik agar dapat membimbing pembangunan dan penggunaan AI bagi mengemudinya menuju ke masa hadapan. AI dapat diserasikan dengan nilai dan etika Islam seandainya dibangunkan dan digunakan dengan cara yang mengutamakan keadilan, akauntabiliti, memanfaatkan kepada masyarakat dan kesejahteraan manusia.
Selagi AI selaras dengan prinsip etika yang ditetapkan oleh ajaran Islam, maka AI dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat. Sungguhpun begitu, pembangun dan pemimpin haruslah memastikan penggunaannya tidak menyebabkan kemudaratan, ketidakadilan atau mengeksploitasi tetapi menyokong kebaikan awam.-UTUSAN
MOHD AMMYRYL ASHRAF SAIRAN
Pensyarah Kanan
Unit Pengajian Islam dan Falsafah
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia (UUM)










