MASALAH buli di sekolah merupakan satu isu yang serius dan perlu ditangani dengan berkesan. Buli boleh memberikan kesan negatif kepada mangsa, termasuklah tekanan emosi, penurunan prestasi akademik dan masalah kesihatan mental.
Untuk mengatasi masalah ini, sekolah perlu mengambil pendekatan yang holistik dengan melibatkan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja mendidik pelajar tetapi membentuk sikap positif dan memperkukuh hubungan antara pelajar.
Antaranya, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum berpasukan boleh membantu mencegah buli. Aktiviti seperti sukan, debat atau kelab drama memerlukan pelajar bekerjasama dan saling bergantung antara satu sama lain. Ini akan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan memperkuatkan hubungan sosial antara pelajar.
Apabila pelajar belajar untuk bekerjasama, sikap saling menghormati akan terpupuk dan ini dapat mengurangkan kecenderungan untuk membuli rakan.
Selain itu, melalui projek pertanian dapat mengajar pelajar tentang kesabaran, tanggungjawab, dan penghargaan terhadap alam sekitar. Apabila mereka bekerjasama dengan baik, kesedaran mengenai kepentingan menghormati dan membantu orang lain akan meningkat.
Program mentor-mentee juga merupakan salah satu inisiatif yang boleh membantu menangani masalah buli. Interaksi positif antara mentor dan mentee boleh membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar yang lebih muda dan membantu mereka mengatasi cabaran sosial di sekolah. Program ini bukan sahaja mengurangkan risiko buli, malah memperkukuh jaringan sokongan antara pelajar.
Seterusnya, sekolah boleh memperkenalkan projek seni kolaboratif sebagai medium untuk mengatasi buli. Projek seni seperti mural, teater atau persembahan muzik yang melibatkan pelbagai pelajar boleh menjadi platform penyatuan. Seni memberi peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan emosi dengan cara yang kreatif dan positif, serta membantu mengurangkan tekanan atau perasaan negatif yang mungkin menjadi punca kepada tingkah laku buli.
Kempen kesedaran tentang buli juga sangat penting. Dengan adanya kempen ini, pelajar akan lebih memahami implikasi negatif buli terhadap diri mereka dan orang lain.
Program pendidikan nilai dan etika yang disepadukan dalam kurikulum dan aktiviti perkhidmatan juga dengan penekanan terhadap nilai-nilai murni seperti empati, hormat-menghormati dan keadilan. Pelajar yang mempunyai nilai-nilai positif akan lebih cenderung bertindak dengan penuh integriti dan tidak membuli rakan mereka.
Selain itu, pihak sekolah, ibu bapa penting dalam setiap usaha pencegahan buli melalui perbincangan dan sesi dialog antara pihak sekolah dan komuniti. Ibu bapa yang prihatin dan peka terhadap perubahan tingkah laku anak mereka boleh membantu mengenal pasti masalah buli dengan lebih awal dan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mencari penyelesaian yang terbaik. – UTUSAN
NURUL IZZATI SYAZWANI MOHD ROSDAN
DAN NUR ALIZZA AHMAD
Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul Makmur, Ganchong, Pahang










