JABALIA merupakan sebuah daerah di utara Gaza yang didiami oleh 200,000 penduduk. Ia telah diceroboh sebanyak dua kali sebelum ini tetapi pihak musuh keluar semula dengan membawa kekalahan bersama-sama angka kematian dan kecederaan yang tinggi dalam kalangan tentera.
Kini Jabalia menjadi sasaran pencerobohan untuk kali ketiga oleh Israel sementara dunia sedang memberi perhatian kepada keadaan di selatan Lubnan dan pasca pilihan raya Amerika Syarikat (AS). Bermakna Israel menggunakan kesempatan ini untuk melakukan jenayah yang terkutuk secara senyap ke atas penduduk Jabalia.
Tempoh pencerobohan darat ke atas Jabalia melebihi 10 hari dan ratusan telah menjadi syuhada dengan mangsa kecederaan akibat serangan udara, kereta kebal, jentera robot yang bergerak sendiri yang dipasang bahan letupan, penembak tepat dan seumpamanya. Keadaan menjadi lebih teruk disebabkan faktor ketiadaan makanan dan minuman akibat kepungan ke atas mereka.
Sesiapa sahaja yang keluar daripada rumah dikenakan serangan dari pelbagai arah. Mayat-mayat bergelimpangan di atas jalan dan lebih teruk, ia terbiar di hadapan mata ahli keluarga sendiri yang tidak sempat melakukan apa-apa.
Walaupun begitu, di bawah tanah bumi Jabalia masih terkandung pejuang-pejuang yang tersedia daripada segi bilangan tentera, perancangan, persenjataan dan roh perjuangan yang tinggi demi Allah. Setiap hari sejak pencerobohan ke atas Jabalia, pejuang-pejuang berjaya melaksanakan pelbagai operasi cemerlang ke atas pasukan darat Israel. Termasuk operasi- operasi seperti penembak tepat, serangan mengejut, pertempuran jarak sifar dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, antara sasaran mudah dan ia berlaku hampir setiap hari di Jabalia ialah operasi melumpuhkan atau memusnahkan kenderaan-kenderaan tentera berperisai.
Sementara itu, pasukan askar berjalan kaki turut menjadi sasaran pihak pejuang dengan menggunakan kemahiran unit penembak tepat dan unit bahan letupan.
Serangan-serangan balas darat teramat penting walaupun ia tidak mengurangkan serangan daripada udara ke atas penduduk awam. Antaranya untuk menghalang rejim Israel menawan darat Jabalia yang boleh mengakibatkan lebih banyak kerugian dan kemusnahan. Selain itu, ia turut penting bagi menghalang lebih banyak sekatan dan kepungan seperti yang telah berlaku di Netzarem dan Philadiphi. Semoga Allah memudahkan semua urusan para pejuang di Jabalia dan seluruh Mujahidin di bumi Gaza.-UTUSAN
MEGAT AIMAN HAKIM MEGAT SHARIFFUDIN
Penyelidik Aqsa Syarif & Calon Pelajar Ijazah Sarjana,
Jabatan Fiqh dan Usul,
Universiti Malaya (UM)










