PADA 18 September 2024, Gerakan Mahasiswa Nasional telah menerima sebuah notis yang memaklumkan Pelan Pemusnahan Kampung Teluk Layang Besar daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu 30 hari selepas notis dikeluarkan.
Pelan Pemusnahan Kampung Teluk Layang Besar ini bakal meratakan Teratak Mahasiswa, sebuah ruang diskusi den aktivisme Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah dan juga beberapa lagi organisasi mahasiswa. Pelan Pemusnahan Kampung Teluk Layang Besar ini juga bakal merobohkan Sekolah Alternatif Teluk Layang, sebuah sekolah untuk kanak-kanak terpinggir yang dibina dengan dana sumbangan orang awam dan komuniti sosial, NGO dan entiti antarabangsa. 250 rumah rakyat Malaysia yang miskin dan beberapa komuniti adat laut juga bakal hilang tempat perlindungan mereka akibat daripada pemusnahan Kampung Teluk Layang Besar ini.
Gerakan Mahasiswa Nasional mengecam sekeras-kerasnya pelan yang jiik, keji, kejam, dan tidak berperikemanusiaan ini, Ini bukan sekadar pengkhianatan terhadap kemanusiaan, tetapi satu jenayah yang tidak boleh diterima akal waras. Pelan zalim ini jelas telah melanggar Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia, yakni menjamin hak kepada pendidikan dan kewarganegaraan seseorang kanak-kanak.
Di manakah kanak-kanak adat laut di Kampung Teluk Layang Besar mahu bersekolah sekiranya kerajaan merobohkan satu-satunya sekolah yang ditubuhkan untuk mereka? Di manakah kanak-kanak adat laut di Kampung Teluk Layang Besar mahu tidur sekiranya kerajaan merobohkan rumah-rumah mereka? Kamu yang tuduh mereka tidak bertamadun, kamu juga yang hancurkan sekolah yang memberi pendidikan kepada mereka. Kamu yang bising mereka tidur di jalan raya, kamu juga yang hancurkan kampung mereka dan memaksa mereka tidur di jalan raya.
Gerakan Mahasiswa Nasional menyatakan solidariti dengan penduduk Kampung Teluk Layang Besar, terutama kanak-kanak yang terkesan oleh penindasan berterusan pihak berkuasa. Kami tidak teragak-agak untuk turun ke jalan berdemonstrasi demi menegakkan keadilan bagi kanak-kanak dan golongan miskin terpinggir. Penindasan terhadap komuniti ini mesti dihentikan, dan pihak berkuasa perlu berhenti membuli demi kepentingan politik.
Gerakan Mahasiswa Nasional menyeru mahasiswa dan rakyat Malaysia bersama-sama membentuk solidariti atas nama bangsa manusia.
Selamatkan Kampung Teluk Layang Besar! – UTUSAN
GERAKAN MAHASISWA NASIONAL










