SAYA merupakan salah seorang daripada puluhan atau ratusan pemandu kereta yang sering membawa pelancong berhibur dan berehat di puncak Genting Highlands, Pahang.
Apa yang menjadi masalah kepada saya dan para pemandu lain yang beragama Islam ialah ruang untuk solat. Selalunya apabila kami menghantar pelancong yang hendak berhibur di sana, kebiasaannya ia mengambil masa antara lapan hingga 12 jam.
Dalam tempoh ini, kami akan menunggu di stesen minyak berhampiran. Boleh dikatakan hampir 95 peratus daripada jumlah pemandu akan berehat dan menunggu di kawasan tersebut.
Yang menjadi masalah utama, tiada bilik atau surau untuk kami yang beragama Islam menunaikan solat.
Masjid cuma ada di kawasan berdekatan Genting Highlands Premium Outlet sahaja. Jika mahu ke masjid, kami memerlukan 30 hingga 40 minit untuk pergi dan balik.
Oleh itu, saya memohon pertimbangan dari pihak pengurusan Genting Berhad untuk menyediakan satu bangunan yang sesuai untuk para pemandu Islam bersolat.
Saya lihat banyak bangunan atau bilik di sekitar kawasan tersebut terbiar dan boleh dijadikan sebagai tempat untuk solat.-UTUSAN
ZAHRUL-LAIL MOHD. YUSOF
Kuala Lumpur










