DALAM pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan landskap pendidikan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi. Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk bakat, menggalakkan ilmu dan memupuk inovasi dalam tiga elemen penting bagi memacu negara dalam persekitaran global yang kekal dan semakin kompetitif.
Salah satu aspek yang terpuji ialah tumpuan terhadap pendidikan lebih sama rata dan mudah diakses. Ini termasuklah inisiatif untuk menambah baik kemudahan di universiti awam dan institusi pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Peningkatan peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur di beberapa institusi serta mewujudkan hubungan yang lebih erat antara universiti dan industri juga menunjukkan langkah ke arah memastikan graduan lebih bersedia memenuhi tuntutan industri moden kini dan masa depan.
Usaha-usaha ini saya kira seiring dengan pemikiran pemikir Melayu ulung, Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba. Beliau pernah berkata, ilmu pengetahuan itulah kunci yang membuka segala pintu kemajuan. Sentimen ini jelas kekal relevan sehingga hari ini. Dengan melabur dalam pendidikan, khususnya pendidikan tinggi, kita bukan sahaja meningkatkan kehidupan individu tetapi juga meletakkan asas untuk kemajuan sebuah negara.
Inisiatif dalam Belanjawan 2025 juga merangkumi usaha untuk menangani isu ketidaksamarataan dalam pendidikan. Dengan meningkatkan biasiswa, pembiayaan untuk pelajar kurang berkemampuan dan sokongan untuk komuniti pedalaman serta Orang Asli, kerajaan sebenarnya mengambil langkah yang betul untuk menjadikan pendidikan itu sebagai hak untuk dikecapi semua. Ini juga sejajar dengan seruan berterusan Za’ba untuk peluang pendidikan yang sama rata merentasi semua lapisan masyarakat.
Rancangan kerajaan untuk meningkatkan kerjasama antara universiti awam dan institusi teknikal dengan industri mencerminkan pemahaman bahawa pendidikan tidak boleh wujud secara terpencil. Pendidikan yang menyeluruh, digabungkan dengan pendedahan praktikal, mampu menyediakan mahasiswa dalam alam pekerjaan. Inisiatif seperti latihan industri, projek berasaskan industri dan program kerjasama antara universiti serta syarikat boleh merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dan aplikasi praktikal.
Kesimpulannya, pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk memperkukuhkan pendidikan tinggi adalah tepat pada masanya dan meletakkan kita di landasan yang betul agar mampu bersaing secara sihat di pentas global. Ia menunjukkan visi yang jelas untuk masa depan negara dengan ilmu, kemahiran dan peluang boleh diakses secara sama rata oleh setiap rakyat, sejajar dengan prinsip asas Ekonomi Madani.
Dalam melangkah ke hadapan, penting untuk memastikan rancangan ini dilaksanakan secara berkesan dan memastikan semua pihak berkepentingan, dari golongan akademia sehinggalah pemain industri bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI
Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM)










