Mengintegrasikan kesejahteraan mental dalam kurikulum

Mengintegrasikan kesejahteraan mental dalam kurikulum

KESEJAHTERAAN mental bukan sahaja penting untuk kejayaan akademik tetapi juga untuk perkembangan peribadi serta sosial pelajar dalam jangka masa panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR baharu di universiti sering kali menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka. Peralihan daripada alam persekolahan ke alam universiti melibatkan perubahan besar dari segi akademik, sosial dan psikologi. Mereka tidak hanya berhadapan dengan kaedah pembelajaran yang lebih mencabar, tetapi juga berdepan dengan tekanan akademik yang lebih tinggi, keperluan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial baharu serta peningkatan tanggungjawab.

Dalam konteks ini, kesejahteraan mental memainkan peranan yang kritikal dalam menyokong kejayaan pelajar di universiti. Walaupun terdapat kesedaran yang semakin meningkat tentang pentingnya isu kesejahteraan mental, cabaran untuk mengintegrasikannya ke dalam kurikulum universiti masih wujud.

Salah satu langkah penting untuk mengatasi cabaran ini adalah dengan meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Universiti boleh mewujudkan kempen pendidikan yang bertujuan untuk mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental dan menggalakkan perbincangan terbuka mengenai topik ini. Selain itu, sesi pengenalan tentang kesejahteraan mental semasa minggu orientasi boleh menjadi langkah awal yang baik dalam memupuk kesedaran di peringkat awal pengajian.

Universiti juga perlu melabur dalam latihan untuk pensyarah supaya mereka lebih yakin dan terlatih dalam mengajar topik kesejahteraan mental. Pensyarah yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul dapat mengintegrasikan topik ini dengan lebih berkesan dalam pengajaran.

Selain itu, bahan pembelajaran berkaitan dengan kesejahteraan mental perlu disediakan, sama ada dalam bentuk modul tambahan atau sumber digital yang boleh digunakan oleh pensyarah dan pelajar.

Untuk meningkatkan penglibatan pelajar, universiti boleh menyediakan aktiviti interaktif yang melibatkan perbincangan dan penglibatan aktif pelajar dalam topik kesejahteraan mental.

Program sokongan rakan sebaya juga boleh diwujudkan untuk membolehkan pelajar berkongsi pengalaman mereka dan membantu antara satu sama lain dalam menangani cabaran mental.

Universiti perlu mengintegrasikan topik kesejahteraan mental dalam subjek sedia ada, menjadikannya relevan dengan pelajar. Selain itu, kursus khusus tentang kesejahteraan mental boleh ditawarkan sebagai elektif untuk pelajar yang berminat mendalami topik ini.

Mengintegrasikan kesejahteraan mental dalam kurikulum universiti adalah langkah penting untuk menyokong pelajar baharu dalam menghadapi cabaran akademik dan sosial. Walaupun terdapat cabaran seperti kekurangan kesedaran, kekangan masa dan sumber serta keterlibatan pelajar yang rendah, institusi pendidikan dapat mengatasi halangan ini dengan menyediakan sumber yang mencukupi, melatih pensyarah dan meningkatkan penglibatan pelajar.

Kesejahteraan mental bukan sahaja penting untuk kejayaan akademik tetapi juga untuk perkembangan peribadi serta sosial pelajar dalam jangka masa panjang malah menyumbang kepada keseimbangan kehidupan dalam masyarakat dan kemakmuran negara.-UTUSAN

JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan Politeknik Nilai, Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN