Memperkasakan bakat terbaik negara

Memperkasakan bakat terbaik negara

KEMANTAPAN sistem pendidikan membuatkan orang luar berkeyakinan tinggi dan menyebabkan bilangan pelajar semakin meningkat saban tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALAN keluar daripada kemiskinan ialah melalui pendidikan. Sama seperti seorang guru, golongan akademia berperanan signifikan dalam menyampaikan ilmu di peringkat pengajian tinggi. Mereka juga adalah guru yang mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan serta memperkasakan bakat.

Modal insan adalah aset negara yang perlu diuruskan dengan bijak dan berkesan. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau menara gading adalah medan untuk pelajar menuntut ilmu dan membina keperibadian mulia.

Universiti perlu menyediakan ruang dan peluang untuk membina bakat dengan adab menjadi tunjang kekuatan. Dalam hal ini semua pihak dan kementerian seharusnya terlibat dalam membina serta memperkasakan bakat. Matlamat akhirnya ialah untuk membina manusia yang tinggi nilainya, kaya dengan akhlak dan mempunyai keseimbangan.

Golongan akademia perlu terus komited dalam membina generasi yang memperkasakan tradisi dan budaya ilmu. Keunikan akademia ialah kerana terlibat dalam dunia penyelidikan. Pastikan penyelidikan yang dilaksanakan berimpak tinggi dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Para ilmuan juga perlu membina dan memperkukuhkan kolaborasi dalam kalangan pelajar, pensyarah serta penyelidik. Ini kerana mampu membawa perubahan kepada pembangunan negara dan dunia.

Kita juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan beriltizam untuk menambah ilmu serta kepakaran sesuai dengan perubahan zaman. Hasilkan inovasi berkualiti yang dapat memberikan manfaat kepada anak bangsa dan negara. Justeru itu, pemikiran kritis sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dalam kecerdasan buatan (AI) perlu diberikan perhatian. Hubungan sesama manusia dan nilai-nilai kemanusiaan harus ditambah serta diperkasakan kerana produk akhirnya ialah memasyarakatkan golongan cerdik pandai.

Sistem pendidikan di Malaysia bersifat holistik dan global dengan aspek kurikulum dan kokurikulum diberi penekanan. Kemantapan sistem pendidikan membuatkan orang luar berkeyakinan tinggi dan menyebabkan bilangan pelajar semakin meningkat saban tahun.

Kita perlu membuang persepsi mengenai kehebatan diri sendiri dan perlu bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, bergabung kepakaran serta kekuatan universiti bagi memperkasakan kehebatan pendidikan di Malaysia.

Sahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa seperti mana yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara, Za’ba. Kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya tidak percaya pada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu bergantung harapan kepada orang lain.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pengerusi Program Sarjana Muda
Sejarah Gunaan Dengan Kepujian
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN