TERDAPAT lebih 20,000 buah masjid di seluruh negara yang memaksimumkan peranan dan imarahnya dalam membangunkan sebuah masyarakat Islam. Selain itu, masjid merupakan tempat menyuburkan sosiobudaya masyarakat dengan erti kata lain ia diibaratkan seperti jantung ummah.
Seiring dengan perubahan zaman maka, pentadbir atau pengelola sesebuah masjid hendaklah memahami akan gelora zaman. Pelbagai kaedah atau pendekatan menerusi aktiviti mahupun reka bentuk program boleh diaplikasikan melalui institusi masjid sesuai mengikut peredaran masa serta berkembangnya teknologi yang serba moden lagi canggih disokong jaringan komunikasi.
Yakin dan percayalah maju atau mundur, baik atau tidak baik sesebuah masjid yang terdapat di tengah-tengah kariah atau mukim dan daerah kita adalah bergantung sepenuhnya kepada sejauh manakah komitmen antara pihak pengelola masjid dan anak kariah masjid. Masjid pada hari ini fungsi dan peranannya semakin berkembang. Masjid juga simbol perpaduan ummah yang bermula daripada fungsinya sebagai tempat beribadat serta pengajian umum dan kuliah atau ceramah agama.
Masjid adalah sebagai pusat menyalurkan informasi atau maklumat selain itu berperanan menjadi pusat menyatukan masyarakat dan ummah.
Paling bermakna, masjid tempat paling ideal untuk merawat dan merehatkan hati. Makmurnya sesebuah masjid menatijahkan terbinanya masyarakat atau anak kariah hidup di dalam suasana aman damai dan sentiasa di dalam naungan rahmat dan barakahnya.
Justeru, mensejahterakan ummah adalah menerusi inovasi dan kemakmuran sesebuah masjid. – UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang










