KAJIAN Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA) pada 2023 mendedahkan, 30 peratus pengguna rokok elektronik di Malaysia berusia antara 12 hingga 15 tahun.
Trend gaya hidup rokok elektronik atau vape yang sedang giat dipupuk di Malaysia amat membimbangkan terutamanya apabila melibatkan generasi muda yang seharusnya dibentuk menjadi pemimpin dan modal insan berkualiti untuk masa depan negara, tetapi kini terjebak dengan ketagihan yang boleh menjejaskan potensi mahupun kesihatan mereka.
Pemasaran vape menyasarkan golongan muda kerana mereka tahu membina kesetiaan terhadap jenama sedari kecil adalah umpama menanam benih yang akan berkembang menjadi hubungan bersifat candu dalam jangka panjang.
Justeru, langkah kerajaan mengharamkan vape kepada kanak-kanak dan remaja dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperlihatkan keprihatinan serta komitmen serius kerajaan bagi membendung kemerosotan tahap kesihatan awam dan melindungi kesejahteraan generasi akan datang.
Mereka menyasarkan generasi baharu terutamanya kanak-kanak serta remaja, melalui strategi pemasaran yang memfantasikan vape sebagai gaya hidup moden dan tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya, vape boleh menyebabkan ketagihan selain pelbagai masalah kesihatan yang serius.
Golongan kanak-kanak dan remaja lebih mudah mengalami ketagihan kerana otak mereka masih dalam proses perkembangan. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan risiko ketagihan, tetapi juga boleh memberi kesan jangka panjang terhadap tumpuan, pembelajaran dan kawalan diri mereka.
Kawalan pemasaran yang lemah menyebabkan mereka berjaya memanipulasi kanak-kanak dan remaja dengan mencipta daya tarikan terhadap produk ini.
Menurut laporan Indeks Gangguan Industri Tembakau Global 2023, campur tangan industri tembakau dalam pembentukan dasar melalui rasuah, lobi, penyelidikan palsu atau ancaman tindakan undang-undang kekal sebagai halangan terbesar untuk kerajaan menangani ancaman tabiat merokok.
Laporan ini menyebut, pihak berkepentingan dalam industri ini terus berusaha dengan gigih untuk melemahkan usaha kawalan tembakau dan sentiasa berkerja ke arah untuk menarik golongan muda kepada produk mereka.
Demi kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu sentiasa peka dan proaktif dalam menangani pelbagai strategi yang digunakan yang boleh menjejaskan keberkesanan dasar kawalan tembakau.
Dasar kawalan tembakau yang berasaskan bukti saintifik terbukti berkesan dalam melindungi kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.
Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk terus memantau dan mengambil langkah proaktif terhadap sebarang usaha yang boleh menjejaskan keberkesanan dasar tersebut, terutamanya daripada pihak industri yang berkepentingan.
Penguatkuasaan yang berkesan adalah kunci yang boleh menghentikan penularan gejala vape dalam kalangan generasi muda dan memastikan masa depan negara tidak terancam akibat kemudaratan produk berbahaya ini.
Kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat sivil dapat memperkukuhkan usaha ini melalui pemantauan berterusan, melaporkan pelanggaran undang-undang, memberi hukuman yang berat, mengadakan program kesedaran dan pembangunan sistem sokongan untuk individu yang ingin berhenti merokok.
Usaha bersepadu antara kerajaan dan rakyat adalah kunci untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Dengan kerjasama erat dari semua pihak, kita mampu membendung penularan gejala yang tidak sihat dan bahaya.
Mari kita bersama-sama menjadikan Malaysia negara yang lebih sihat dan sejahtera untuk generasi hari ini dan masa hadapan.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi
Korporat Pertubuhan IKRAM Malaysia










