Kontraktor pembersihan pasti terbeban tahun depan

Kontraktor pembersihan pasti terbeban tahun depan

KENAIKAN gaji minimum sebanyak 13 peratus akan menyebabkan kos operasi kontraktor pembersihan meningkat 11 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) kecewa dengan Belanjawan 2025 khususnya berkaitan kenaikan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan perlaksanaan levi pelbagai peringkat.

Kenaikan gaji minimum sebanyak 13 peratus dari RM1,500 ke RM1,700 akan menyebabkan kos operasi kontraktor pembersihan meningkat 11 peratus. Secara puratanya keuntungan kasar termasuk peruntukan pengurusan dan pentadbiran hanya 10 peratus dari harga kontrak. Ini bermakna kontraktor akan mengalami kerugian satu peratus, belum lagi di tolak kos pengurusan dan pentadbiran.

Secara dasarnya MACM tidak menolak kenaikan gaji minimum. Kenaikan tersebut sepatutnya dikongsi dengan pihak pelanggan dan tidak dibebankan kepada kontraktor, tanpa penyelarasan harga kontrak berdasarkan kenaikan gaji minimum.

Pada masa yang sama, pelaksanaan levi pelbagai peringkat turut membebankan kontraktor pembersihan yang bergantung kepada tenaga pekerja asing. Kerajaan perlu sedar sektor pembersihan di kategorikan sebagai 4D (kotor, sukar, bahaya dan merendahkan) yang dijauhi pekerja-pekerja tempatan.

Peningkatan taraf pendidikan rakyat tempatan termasuk peluang memperoleh sijil kemahiran dari pelbagai institusi pendidikan menyebabkan semakin sukar untuk mendapatkan pekerja yang memilih untuk pekerjaan setaraf dengan kelulusan atau sijil yang dimiliki.

Anggapan bahawa kontraktor lebih memilih pekerja asing untuk menjimatkan kos, adalah jauh dari fakta sebenar. Kontraktor perlu membayar levi dan lain-lain kos pengambilan tidak kurang dari RM2,500 bagi setiap seorang pekerja asing, tidak termasuk keperluan mematuhi Akta 446, iaitu menyediakan penginapan dan keperluan asas pekerja. Jika dulu kontraktor tidak perlu mencarum KWSP untuk pekerja asing, Belanjawan 2025 menjadikan caruman pekerja asing wajib.

Levi pelbagai peringkat bermakna bagi setiap pekerja asing yang diambil melebihi nisbah yang ditetapkan, kontraktor perlu membayar levi yang lebih tinggi dari RM1,850. Bagi sektor pembersihan yang bergantung hampir 100 peratus kepada pekerja asing khususnya di bandar-bandar utama, adalah sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan yang mencukupi bagi memenuhi nisbah yang ditetapkan. Ini bermakna kontraktor akan menggunakan pekerja asing melebihi nisbah dan terpaksa membayar levi yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik untuk pembangunan negara, hanya perlu memahami dan memberi perhatian kepada kekangan yang dihadapi oleh sektor pembersihan. Kontraktor pembersihan berkorban untuk kebersihan negara dan keselamatan, kesihatan serta keselesaan rakyatnya, tetapi jangan dijadikan kami korban peraturan yang membebankan.-UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan
Pembersihan Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN