DALAM Belanjawan 2025 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini, sebanyak RM230 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan sukan di Malaysia. Dana ini merupakan satu pelaburan penting dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan atlet pelapis serta memastikan persiapan yang lebih rapi untuk kejohanan-kejohanan antarabangsa. Selain memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur dan program latihan, tumpuan utama pastinya untuk membantu negara mencapai pingat emas Olimpik pertama yang telah lama diimpikan.
Walau bagaimanapun, kejayaan di peringkat Olimpik tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.
Pembangunan atlet pelapis memerlukan perancangan jangka panjang dan laluan yang jelas bagi membolehkan mereka bersaing di pelbagai peringkat antarabangsa. Oleh itu, penglibatan atlet pelapis dalam beberapa kejohanan besar seperti Sukan SEA 2025 di Thailand, Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, serta kejohanan dunia yang lain, adalah langkah penting ke arah mencapai impian Olimpik di Los Angeles pada 2028.
Kejohanan dunia merupakan platform yang paling penting bagi atlet pelapis mengukur tahap pencapaian mereka berbanding bersaing di peringkat global. Dengan latihan yang konsisten dan bimbingan berterusan, atlet-atlet berprestasi baik di kejohanan dunia berpotensi untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik di Los Angeles pada 2028.
Untuk mencapai kejayaan di Olimpik, kerajaan perlu memberikan sokongan berterusan kepada atlet pelapis. Ini termasuk bimbingan intensif daripada jurulatih antarabangsa, pendedahan berterusan kepada kejohanan berprestij dan program pemantauan prestasi yang ketat. Sukan seperti badminton, terjun, berbasikal dan memanah akan terus menjadi sukan utama, kerana sukan-sukan ini menunjukkan potensi besar dalam mencipta kejayaan di pentas dunia. Atlet yang terlibat dalam acara-acara ini perlu diberikan latihan yang lebih tersusun, termasuk akses kemudahan bertaraf dunia, ujian saintifik dan program pemulihan kecergasan yang menyeluruh.
Selain itu, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap aspek kesihatan mental dan kebajikan atlet. Sukan Olimpik adalah medan yang sangat mencabar dan tanpa sokongan mental yang kukuh, atlet mungkin menghadapi kesukaran untuk bersaing pada tahap tertinggi. Oleh itu, program sokongan psikologi dan kaunseling akan menjadi sebahagian penting dalam persiapan menuju Los Angeles 2028.
Kesimpulannya, RM230 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk pembangunan sukan di Malaysia adalah langkah yang sangat penting dalam memastikan kejayaan negara di pentas antarabangsa, terutamanya dalam usaha untuk mencapai pingat emas Olimpik pertama. Namun, kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa perancangan jangka panjang yang teliti. Melibatkan atlet pelapis dalam kejohanan besar seperti Sukan SEA Thailand 2025, Sukan Komanwel Glasgow 2026, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, serta pelbagai kejohanan dunia, akan menjadi laluan yang jelas ke arah persiapan untuk Olimpik Los Angeles 2028.
Dengan sokongan dan, latihan intensif, pendedahan teknologi terkini, serta bimbingan mental yang kukuh, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk melahirkan juara dunia dan akhirnya mencapai impian lama iaitu melihat bendera Malaysia berkibar di pentas tertinggi Olimpik dengan pingat emas yang berharga.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD NIZAM NAZARUDIN
Pensyarah Pendidikan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










