BERDASARKAN rekod Kementerian Pendidikan bagi sesi 2023/2024 yang lalu, sebanyak 3.59 peratus dalam kalangan murid sekolah direkodkan sebagai ponteng sekolah berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid.
Peratus ini adalah bersamaan kira-kira 182,848 orang murid berbanding jumlah keseluruhan murid seramai 5,093,272 yang direkodkan. Mereka dikategorikan sebagai ponteng sekolah sekiranya mereka tidak hadir tanpa sebab yang munasabah.
Ini menjadi dilema khususnya dalam kalangan guru kelas bagi menentukan sebab ketidakhadiran pelajar ke sekolah apabila sebab yang dinyatakan agak kabur seperti ‘tidak hadir kerana urusan keluarga’.
Terdapat pelbagai kesan yang boleh disenaraikan akibat daripada menormalisasikan budaya negatif ini. Antaranya, anak-anak terhalang untuk merasai apa yang dinamakan sebagai kurikulum tersembunyi.
Kurikulum ini merujuk kepada nilai, norma dan kepercayaan yang diajarkan kepada anak-anak melalui aktiviti dan interaksi harian di sekolah. Kurikulum ini bukan melalui kurikulum rasmi atau silibus yang ditetapkan.
Istilah kurikulum tersembunyi ini digunakan bagi menggambarkan pembelajaran tidak formal anak-anak di sekolah yang menyentuh kepada elemen-elemen seperti disiplin, kepatuhan kepada peraturan, budaya persaingan dan penghormatan terhadap hak, peranan dan tanggungjawab. Meskipun tidak diajar secara eksplisit, kurikulum tersembunyi ini sangat mempengaruhi pembentukan sikap, nilai dan identiti pelajar.
Sikap ibu bapa yang tidak menghargai atau memandang remeh terhadap hari persekolahan anak-anak secara tidak langsung menidakkan nilai-nilai seperti patriotisme, penghormatan kepada pendidik, kerjasama dan kreativiti yang ingin dipupuk.
Ibu bapa hanya mementingkan pencapaian akademik dan mengabaikan program selain program akademik boleh membawa kepada perkembangan pelajar yang tidak seimbang, kurang kemahiran sosial, dan kurang menghargai nilai-nilai yang diperoleh melalui interaksi sosial di sekolah.
Trend ‘memontengkan’ anak-anak ini juga mungkin mencerminkan sikap sebahagian ibu bapa yang melihat sekolah hanya sebagai tempat pembelajaran akademik, bukannya institusi yang menyediakan pendidikan menyeluruh.
Sebenarnya, kurikulum tersembunyi berperanan mengajar pelajar tentang peranan mereka dalam masyarakat, namun sikap ibu bapa yang mengabaikan persekolahan mereka menunjukkan bahawa nilai-nilai ini kurang diutamakan dalam sesetengah keluarga.
Isu ‘memontengkan’ anak ke sekolah ini memerlukan kerjasama antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah.
Pendidikan bukan sahaja mengenai pencapaian akademik, tetapi juga melibatkan perkembangan holistik yang diperoleh melalui program kokurikulum.
Kurikulum tersembunyi yang diterapkan kepada anak-anak melalui interaksi sosial di sekolah adalah elemen penting dalam pembentukan jati diri mereka agar menjadi generasi yang seimbang dan berdaya saing pada masa kini dan akan datang. – UTUSAN
MOHD NUR SYUFAAT JAMIRAN
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










