Hindari dari perpecahan seperti mana ditiupkan khawarij moden

Hindari dari perpecahan seperti mana ditiupkan khawarij moden

UMAT Islam perlu terus kekal bersatu padu dan menghormati tanpa mengira kaum dan latar belakang supaya dapat hidup dengan makmur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA Madani menjadi pencetus kerangka pembinaan sebuah negara Islam progresif, seimbang dan sederhana selari dengan Perlembagaan Persekutuan untuk melahirkan rakyat kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Pembinaan karamah insaniah dengan menekankan nilai manusiawi dan adab yang luhur menjadikan negara ini rujukan masyarakat dunia serta diiktiraf pimpinan negara-negara Islam di peringkat antarabangsa.

Bahkan majoriti ulama ahli sunnah wal jamaah di pelbagai negara Islam mengakui Islam yang dipraktikkan di negara ini merupakan acuan yang tepat dengan mengaplikasikan fiqh muamalat serta fiqh muwatonah yang terbaik di dunia dalam hal menyantuni kaum dan agama lain.
Hal ini mengingatkan tentang sejarah manusia setelah bumi ini diciptakan Allah SWT, maka bermulalah tujuan dan kehendak Allah untuk menjadikan manusia mendiami bumi ini dengan aturan-NYa.

Allah mengingatkan manusia agar sentiasa memakmurkan bumi-Nya dengan menjaga amanah memelihara hubungan baik sesama manusia sesuai firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (Surah Al-Hujurat, ayat 13).

Amalan hormat-menghormati dan menyantuni seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama merupakan saranan yang mulia dan memiliki nilai yang luar biasa. Malaysia berjaya membuktikan rakyatnya hidup makmur di bawah kepemimpinan Melayu Islam.

Justeru, sentimen agama dan kaum yang cuba ditiupkan kelompok khawarij moden wajar dijauhi bahkan perlu dinoktahkan segera dengan menyemai sikap berkasih sayang, hormat-menghormati. Lebih penting semangat perpaduan yang menjadi perisai ampuh melawan segala bentuk kebejatan dan kebobrokan yang dibawa golongan khawarij moden.

Sebagai muslim yang memiliki karamah insaniah perlu sentiasa berhati-hati terhadap kelompok ini.

Bagi membangunkan semangat nilai dan kesatuan, sudah tentu insan yang terdidik dengan iman, ilmu dan adab mampu membezakan mana jalan yang membawa kepada kemakmuran dan jalan yang membawa kepada perpecahan.

Justeru, tingkatkan iman teruskan berusaha membina kesatuan kerana Islam agama yang menyeru kepada kekuatan kesatuan serta memupuk perpaduan kaum yang harmoni.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN