KEMUNCULAN lolipop khayal ataupun lebih dikenali sebagai lollipop parti atau lollipop mabuk yang dipercayai mengandungi dadah semakin meluas di platform e-dagang tempatan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pihak berkuasa.
Lolipop ini yang dilaporkan pertama kali ditemui pada Februari lalu di Bangkok tanpa disedari sudah mula dijual di laman platform e-dagang tempatan.
Tahniah diucapkan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertindak pantas mengambil tindakan dengan membuat laporan polis tentang penjualan dadah itu di platform e-dagang.
Lolipop ini dilaporkan mengandungi bahan berbahaya yang boleh menyebabkan ketagihan dan merosakkan kesihatan mental dan fisikal. Berdasarkan ujian yang telah dibuat oleh Institut Analisis Narkotik dan Perkhidmatan Teknikal ONCB Thailand terhadap empat variasi gula-gula itu, didapati satu daripadanya mengandungi nimetazepam dan tramadol. Ada pula mengandungi ketamin dan tramadol serta gula-gula terakhir mengandungi flunitrazepam.
Berikut merupakan penjelasan bagi setiap dadah tersebut:
Nimetazepam: Sejenis ubat dari kumpulan benzodiazepin yang mempunyai kesan sedatif dan hipnosis. Ia digunakan dalam rawatan jangka pendek insomnia dan masalah kebimbangan, tetapi boleh menyebabkan ketagihan jika disalahgunakan.
Tramadol: Ubat penahan sakit opioid yang digunakan untuk merawat kesakitan sederhana hingga teruk. Ia boleh menyebabkan ketagihan jika digunakan secara berlebihan.
Ketamin: Digunakan sebagai anestetik, tetapi dalam dos tertentu, ia menyebabkan halusinasi dan digunakan secara haram sebagai dadah rekreasi.
Flunitrazepam: Juga dari kumpulan benzodiazepin, ia digunakan untuk merawat insomnia, tetapi dikenali sebagai ‘date rape drug’ kerana kesan amnesia yang kuat.
Untuk memperketatkan kawalan penjualan produk berbahaya seperti lolipop khayal di platform e-dagang, kerajaan boleh menguatkuasakan peraturan lebih ketat dengan mewajibkan pengesahan keselamatan makanan daripada pihak berkuasa.
Pemantauan berterusan oleh pihak penguatkuasa terhadap penjual dalam talian juga penting bagi mengesan produk mencurigakan. Kerjasama antara kerajaan dan platform e-dagang perlu diperkuat untuk menyekat penjualan produk tidak berdaftar. Selain itu, hukuman yang lebih berat terhadap penjual yang melanggar peraturan boleh dikenakan untuk mengurangkan risiko produk berbahaya dijual secara bebas.
Untuk mengelakkan risiko daripada lolipop beracun yang mengandungi bahan terlarang, ibu bapa perlu lebih berwaspada terhadap pembelian yang dibuat secara dalam talian, terutamanya produk manisan. Sentiasa pantau jenis gula-gula atau makanan yang dimakan oleh anak-anak dan elakkan membeli produk daripada penjual yang tidak dikenali di platform e-dagang. Semak ulasan dan asal usul produk sebelum membuat sebarang pembelian. Selain itu, didik anak-anak tentang bahaya dadah yang mungkin tersembunyi dalam produk yang kelihatan tidak berbahaya.
Jika mengambil mudah tentang isu lolipop beracun ini, kesannya boleh menjadi sangat serius, terutamanya kepada kesihatan kanak-kanak. Penggunaan produk ini yang mengandungi bahan terlarang seperti boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya seperti halusinasi, ketagihan, kemurungan pernafasan, kerosakan mental, dan dalam kes yang teruk, kematian. Selain itu, ketidakpedulian boleh meningkatkan risiko penyebaran produk ini secara meluas, menyebabkan lebih ramai individu, terutamanya kanak-kanak, menjadi mangsa.-UTUSAN
DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF
Fakulti Sains Kesihatan,Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam










