Cara kerja berubah dalam tempoh lima tahun akan datang

Cara kerja berubah dalam tempoh lima tahun akan datang

KERJASAMA antara industri, kerajaan dan institusi pendidikan perlu diperkuat untuk memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai bagi menghadapi masa depan pekerjaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang pesat dan tidak dapat disangkal, ia membawa pelbagai perubahan dalam pelbagai sektor, termasuk swasta. Walaupun ada yang mungkin melihat AI sebagai ancaman kepada pekerjaan, ia juga membuka pintu kepada peluang baharu bagi mereka yang bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri.

Namun, bagi kebanyakan pekerja sektor swasta, mereka bimbang bagaimana untuk kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin didominasi teknologi pintar ini.

Langkah pertama yang harus diambil ialah menguasai kemahiran digital. Pekerja yang berupaya mengurus dan mentafsir data atau menggunakan teknologi automasi untuk meningkatkan produktiviti mempunyai kelebihan besar berbanding mereka yang masih bergantung kepada kaedah kerja manual.

Selain itu, adaptasi kepada pembelajaran sepanjang hayat juga penting dalam era AI. Ini bermakna, pekerja perlu sentiasa berusaha memperbaharui pengetahuan dengan mengikuti kursus, menghadiri seminar atau memperoleh sijil profesional dalam bidang yang sedang berkembang. Ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai mereka di mata majikan, tetapi juga membantu untuk lebih yakin dan bersedia menghadapi perubahan.

Walaupun AI mampu mengambil alih banyak tugas teknikal, namun ia masih sukar untuk menggantikan kemahiran-kemahiran seperti kreativiti, empati, komunikasi interpersonal dan kepimpinan. Kemahiran insani inilah yang akan menjadi membezakan antara pekerja dan mesin.
Jangan melihat AI sebagai musuh. Pekerja yang mampu bekerjasama dengan teknologi akan lebih berjaya dan kekal relevan dalam organisasi.

Selain itu, kesedaran tentang keselamatan digital juga harus ditingkatkan. Dengan penggunaan teknologi yang semakin meluas menyebabkan risiko keselamatan siber juga meningkat. Pekerja perlu lebih berhati-hati dan memahami asas-asas keselamatan siber untuk melindungi data peribadi dan syarikat. Majikan pula semakin menilai pekerja berdasarkan kesedaran dan keupayaan untuk menjaga keselamatan maklumat dalam dunia yang semakin terhubung.

Akhir sekali, kerjasama antara industri, kerajaan dan institusi pendidikan perlu diperkuat untuk memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai bagi menghadapi masa depan pekerjaan. Inisiatif bersama seperti penyediaan latihan teknikal, pembangunan program pembelajaran sepanjang hayat dan insentif untuk syarikat yang melabur dalam automasi dan teknologi AI akan membantu negara kekal kompetitif dalam ekonomi global.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAH,
Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN