MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM1 juta kepada Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah majlis agama itu sebagai ganjaran berdasarkan prestasi sepanjang 2024.
Ganjaran yang disediakan MAIS melalui peruntukan zakat berdasarkan penilaian prestasi keberkesanan laporan program serta komitmen serta kesungguhan PIBK dalam menjalankan aktiviti dan program hal ehwal Islam bersama dengan masyarakat terutama di Selangor.
Sumbangan diberikan berdasarkan komitmen pertubuhan dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah serta sosial yang melibatkan umat Islam selain diukur mengikut penilaian prestasi dan keberkesanan program PIBK MAIS bagi tempoh setahun.
Sehingga kini, jumlah PIBK di bawah MAIS sebanyak 93 buah.
Kesemua PIBK tersebut dibahagikan kepada 10 Kluster iaitu Dakwah Islah, Pemantapan Akidah, Pemerkasaan Halalan Toyyiban, Pendidikan Islam dan Pembangunan Mualaf, Pendidikan Islam, Pemulihan Riqab, Kebajikan Fakir dan Miskin, Kebajikan Anak Yatim, Pembangunan Kekeluargaan Islam dan Amal Makruf Nahi Mungkar.
Antara PIBK yang berdaftar di bawah MAIS ialah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Persatuan Kebajikan Wanita Islam Selangor (Bakewanis); Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS); Islamic Relief Malaysia (IRM), Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (MCG) dan Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD).
MAIS berharap agar semua PIBK MAIS dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga, mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam selaras dengan hukum syarak.-UTUSAN
TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD YUSOF
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)










