Ambil tindakan terhadap majikan culas patuh perintah gaji minimum

Ambil tindakan terhadap majikan culas patuh perintah gaji minimum

TINDAKAN keras mengikut peruntukan undang-undang sedia ada boleh dikenakan sekiranya majikan gagal mematuhi Perintah Kadar Gaji Minimum. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN menaikkan kadar gaji minimum kepada RM 1,700 dapat memastikan setiap pekerja menikmati kehidupan yang selesa, dapat menampung peningkatan kos sara hidup dan suasana ekonomi yang semakin mencabar.

Menjadi kesalahan kepada mana-mana majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) ini. Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) jelas menyatakan majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

Seksyen 44 bagi akta sama pula memperuntukkan bahawa:
• Jika seseorang majikan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 43, majikan itu disabitkan untuk membayar perbezaan antara kadar gaji minimum sebagaimana yang dinyatakan dalam Perintah Gaji Minimum dengan gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja, termasuk perbezaan yang belum selesai dibayar.
• Bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan gaji pokok hendaklah mengikut kadar gaji minimum sebagaimana dinyatakan dalam perintah berkenaan. Pengiraan perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat mengikut Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Sementara jika seseorang majikan tidak mematuhi mana-mana perintah yang dibuat di bawah Subseksyen (1), mahkamah hendaklah, atas permohonan pekerja, mengeluarkan waran untuk melevi harta majikan itu bagi perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah Subseksyen (1) mengikut cara yang berikut:
• Secara distres dan penjualan harta majikan itu mengikut tatacara yang sama seperti pelaksanaan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 (P.U. (A) 328/80) dan pelaksanaan ini hendaklah terpakai mutatis mutandis (sebaik sahaja perubahan yang diperlukan telah dibuat) walau apa pun jumlah dalam perintah itu.
• Mengikut cara yang sama seperti suatu denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Pelbagai jenis hukuman lain yang boleh diberikan terhadap majikan seperti yang termaktub di bawah Seksyen, 45, 46 dan 47 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Oleh itu, pihak majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum ini. Jika tidak, tindakan keras mengikut peruntukan undang-undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka.

Pekerja yang merasakan teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pengumuman kadar gaji minimum ini perlu mendapatkan bantuan daripada pihak yang berkaitan selain membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia dengan segera.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN