Tolak normalisasi tunjuk perilaku negatif di media sosial

Tolak normalisasi tunjuk perilaku negatif di media sosial

Polis nasihat ibu bapa agar memantau media sosial anak bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa pedofilia,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GOLONGAN remaja dan belia merupakan generasi pelapis masa hadapan yang bakal menjadi pewaris ke arah penerusan kemajuan di negara ini. Mereka menjadi aset penting yang memiliki tanggungjawab besar dalam memacu usaha-usaha sedia ada ke arah pembangunan negara.

Semestinya merekalah yang bakal menjadi pencorak dan pemimpin pada masa akan datang dalam memastikan kesemua inisiatif yang sedang dirancang dapat direalisasikan dan dijayakan dengan penuh bermakna.

Walau bagaimanapun, trend semasa menyaksikan perkembangan golongan ini dalam keadaan yang membimbangkan tatkala pendedahan teknologi komunikasi dan maklumat tanpa batasan pada masa ini. Menerusi akses ke atas pelbagai bahan yang begitu mudah diperolehi pada hari ini di mana segalanya di hujung jari kadangkala menjadi faktor penyumbang terbesar mudahnya pengaruh negatif meresap ke dalam diri golongan ini.

Ironinya, berlakulah pelbagai permasalahan sosial seperti penyalahgunaan bahan, dadah, vandalisme, buli secara fizikal dan atas talian, seks bebas serta gengsterisme. Senario ini sekiranya dilihat secara teliti tidak terhenti di peringkat permasalahan sosial ini sahaja, tetapi bakal membawa kepada permasalahan-permasalahan lain seperti kemerosotan pencapaian akademik, jangkitan HIV, kehamilan remaja, keganasan rumah tangga apabila telah berkahwin, masalah kesihatan mental serta pelbagai lagi implikasi negatif yang kadangkala tidak terjangkau dalam fikiran normal seseorang manusia.

Trend normalisasi menonjolkan kejahatan di media sosial merupakan antara hal yang dilihat semakin menjadi-jadi dengan persepsi sekadar keseronokan perkongsian kandungan.

Antaranya kebanggaan melakukan vandalisme di sekolah semasa hari terakhir persekolahan, perbuatan membuli rakan lain, pemanduan dan aksi berbahaya di atas jalan raya, penggunaan bahasa kesat dan tidak sopan serta penyalahgunaan bahan. Kesemua perbuatan ini dilihat oleh segelintir golongan ini sebagai cara mendapatkan perhatian dan pujian serta kepuasan segera. Malah, mereka juga ingin diri mereka dilihat sebagai paling handal dan berani di usia ini apabila berjaya menonjolkan perilaku negatif tersebut kepada golongan awam tanpa perasaan malu.

Tanpa disedari, perbuatan ini boleh menjadi ikutan kepada orang lain yang merujuk perkara tersebut sebagai satu normalisasi tanpa perasaan malu.

Pihak kerajaan perlu meneliti semula kesemua data-data baharu berkaitan permasalahan sosial dalam kalangan golongan ini dalam usaha mencari titik penyelesaian bagi membendung permasalahan ini.

Pendidikan dan kesedaran berterusan juga seharusnya dijalankan bukan sahaja oleh golongan guru-guru di sekolah, tenaga pengajar di peringkat IPT, bahkan ibu bapa di rumah juga seharusnya bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam mengelakkan anak-anak tersasar daripada landasan kehidupan positif. Pendidikan dan kesedaran ini seharusnya meliputi elemen positif tidak sekadar dalam sisi kehidupan realiti, tetapi juga sisi kehidupan maya seperti penggunaan media sosial yang betul. Perkara ini penting dalam membolehkan mereka menyedari dan mengetahui kesan dan akibat sesuatu perbuatan yang dilakukan pada masa akan datang. Dengan cara ini, ia sekurang-kurangnya menjadi inisiatif dalam mengurangkan sedikit demi sedikit permasalahan sosial dalam kalangan golongan ini. – UTUSAN

DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI
Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN