SAUDARA PENGARANG,
MASYARAKAT Orang Asli Semenanjung Malaysia adalah penduduk pribumi yang wujud sejak lebih 60,000 tahun dahulu yang mempunyai pandang dunia (worldview) tersendiri dan begitu akrab dengan alam sekitar serta majoritinya masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Kini, masyarakat Orang Asli berjumlah kira-kira 215,000 serta mempunyai 18 suku kaum Orang Asli di sekitar Semenanjung Malaysia iaitu Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, Temuan, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.
Walaupun masyarakat Orang Asli adalah golongan etnik minoriti di negara tetapi mereka sudah berintegrasi dan menerima pembangunan namun isu kemiskinan masih membelenggu komuniti ini kerana lokaliti dan sumber ekonomi yang terhad.
Kadar keciciran anak Orang Asli ke sekolah kini berkurangan dari 15 tahun yang lalu dengan pemberian pelbagai insentif dan pembinaan sekolah khas untuk mereka, namun kadar keciciran besar berlaku ketika transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Mereka sebenarnya bukan tidak suka ke sekolah tetapi isunya bagaimana pedagogi pendidikan kita tidak responsif terhadap budaya Orang Asli yang menyebabkan mereka berasa terasing dan kurang minat.
Selain itu, isu hak tanah menjadi perjuangan yang panjang bagi masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia kerana mereka tidak mendapat hak dan pemilikan terhadap tanah yang didiami mereka.
Tanah merupakan semangat, jiwa dan darah mereka. Selain itu, alam sekitar mempunyai hubungan rohani dan menjadi budaya turun temurun. Tanah dan alam sekitar berakar umbi dalam kehidupan mereka.
Itu merupakan pandangan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon yang berkepakaran dalam Antropologi dan Sosiologi pengkhususan Indigenous Studies dan pembangunan komuniti yang telah berkecimpung dalam kajian Orang Asli selama 16 tahun.
Pada tahun 2017, Roslan telah menjalankan program Pemerkasaan Murid Orang Asli yang telah dijalankan selama tiga tahun berjaya memenangi Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi (ICAN) 2019 untuk kategori Rakan Komuniti Terbaik. Pada 2019 juga, buku beliau Pembangunan Kontemporari Orang Asli mendapat Anugerah Buku Negara.
Beliau kini sedang bergiat aktif menjalankan kajian Semakan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan Kesejahteraan Orang Asli serta dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Sosial dan Multiculturalism, World University Association of Community Development (WUACD) yang memberi fokus kepada masyarakat pribumi.
Kerajaan turut berusaha menyelesaikan permasalahan itu dengan melaksanakan Sekolah Model Khas K11 bagi menjamin pendidikan masyarakat Orang Asli dan pelbagai inisiatif lain telah disediakan untuk mereka menuntut ilmu hingga ke menara gading. – UTUSAN
NOOR ESZEREEN JUFERI
Universiti Putra Malaysia










