Tangani ‘penunggang agama’ habis-habisan

Tangani ‘penunggang agama’ habis-habisan

KERAJAAN sewajarnya bertindak tegas mengenal pasti ‘penunggang agama’ mahupun organisasi yang mencemarkan kesucian Islam dibanteras sehingga ke akar umbi.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN wajar tangani dengan pantas dan tegas isu yang melanda Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung 402 kanak-kanak dipercayai mangsa eksploitasi yang diselamatkan dalam serbuan di 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Bahkan wujud pula dakwaan mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lambat bertindak terhadap syarikat ini yang dikaitkan dengan ajaran sesat dan eksploitasi terhadap kanak-kanak. Terbaharu kemungkinan menjurus kepada jenayah terancang.  

Kendatipun, isu yang terkait dengan GISBH perlu dirungkai segera bagi menangkis persepsi masyarakat terhadap keupayaan pihak berkuasa menangani isu tersebut. 

Masyarakat di luar sana bimbang jika isu ini terkait ‘tunggang agama’ atau ‘penyebaran ajaran sonsang’ demi mengaut keuntungan selain cuba mendapatkan pengaruh dan pengikut bagi mewujudkan satu gerakan ‘subversif’ terhadap negara sehingga memberikan ancaman terhadap akidah dan pegangan umat Islam.

Ketangkasan pihak berkuasa bertindak mampu menyelamatkan lebih ramai orang daripada terjebak dengan elemen songsang yang berpunca daripada kerapuhan umat Islam memahami agama dengan baik selain pengaruh ‘pemimpin’  yang cuba menjadikan ‘agama’ sebagai modal demi kepentingan tertentu.

Kesucian agama Islam merupakan tekad dan iltizam kerajaan bagi menjamin agama ini sentiasa terpelihara daripada pengaruh kesesatan dan pelampau agama. 

Jika ditelusuri sebelum ini, begitu banyak ajaran sesat disenaraikan pihak berkuasa agama sama ada melalui Jakim ataupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) namun masih ada lagi gerakan ajaran sesat yang masih berleluasa sama ada yang bergerak secara sulit, di media sosial mahupun beroperasi secara haram sehingga gagal dihidu oleh pihak berkuasa agama. 

Kerajaan sewajarnya bertindak tegas mengenal pasti jika terdapat mana-mana ‘penunggang agama’ mahupun organisasi yang mencemarkan kesucian Islam dibanteras sehingga ke akar umbi.

Jika dibiarkan dan tidak diambil tindakan undang-undang dibimbangi akan muncul lebih banyak gerakan mahupun organisasi yang menunggang atas nama agama sehingga berkembang biak seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. 

Islam adalah agama suci murni yang tersemat indah dengan intipati yang bersih dan jangan biarkan ia tercemar sehingga menjejaskan imej Islam di persada dunia. 

Malaysia perlu bertindak tegas memulihkan kembali keyakinan rakyat bahawa apa sahaja elemen yang menggugat kesucian Islam perlu dinoktahkan segera. Islam itu indah jangan cemarinya dengan penunggang dan pelampau agama.-UTUSAN

 

DR. ZURAIMY ALI

Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti

Teknologi Mara(UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN