SAUDARA PENGARANG,
PEMBUGARAN patriotisme perlu terus berkesinambungan dan tidak terhenti selepas berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saban tahun. Semangat cintakan negara seharusnya terus membara dalam jiwa setiap warganegara Malaysia.
Kita terdiri daripada satu bangsa tetapi wujud kepelbagaian masyarakat atau kaum. Kita perlu terbuka dalam menerima konsep “satu bangsa bagi satu negara”. Sebagai warganegara yang sama, fahaman kebangsaan kita juga perlu sama iaitu bangsa Malaysia.
Integrasi sebagai proses dinamik perlu diperkasakan bagi merapatkan jurang masyarakat khususnya yang melibatkan negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Integrasi antara wilayah perlu dirapatkan sebagai medium penyatuan memupuk perpaduan nasional. Sistem pendidikan perlu berperanan untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan, mempunyai jati diri yang kukuh, cintakan negara dan bersatu untuk memberi sumbangan membangunkan negara.
Aspek pendidikan dan kokurikulum perlu berfungsi sebagai alat untuk menerapkan sikap serta nilai yang mendukung kepada pencapaian perpaduan negara. Tumpuan khusus juga perlu dalam soal pembinaan negara bangsa dan sejarah negara. Hal yang demikian memerlukan akses berinteraksi dan memperkembangkan bakat serta potensi diri kepada semua pelajar pelbagai kaum.
Persefahaman dari segi politik perlu sebagai landasan kepada pemerintahan dan pentadbiran negara. Ini akan memastikan keamanan dan keharmonian antara kaum dapat diwujudkan serta dikekalkan.
Rukun Negara berfungsi sebagai tiang seri untuk menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira ras dan keturunan. Justeru itu, kerjasama dan sumbangan semua warganegara Malaysia dalam mempertahankan serta memaknai erti kemerdekaan adalah ‘wajib’.
Elakkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan citra peradaban negara. Suburkan patriotisme demi negara selagi nyawa dikandung badan. Jiwa Merdeka yang dimiliki perlu berupaya menjadi tunjang kesepaduan secara berterusan bagi memacu patriotisme dan mewujudkan jati diri rakyat Malaysia. Demi negara, suburkan patriotisme secara berterusan selepas 16 September setiap tahun. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










