Sekat warga asing sewa tanah

Sekat warga asing sewa tanah

SUDAH tiba masanya kerajaan negeri bertindak lebih tegas menguatkuasakan undang-undang berkenaan sekatan pajakan tanah kepada bukan warganegara dan syarikat asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU penguasaan warga asing dalam sektor pertanian telah mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini.

Perkara ini amat membimbangkan kerana warga asing ini bukan lagi sekadar pekerja kerana sudah mampu menyewa tanah milik rakyat tempatan untuk mengusahakan sendiri kebun sayur dan buah-buahan. Aktiviti warga asing menyewa tanah ini sudah tidak terhad di Cameron Highlands di Pahang tetapi sudah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung seperti Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Seperti yang selalu dilaporkan pihak media massa, kebanyakan warga asing yang terlibat adalah daripada kalangan warga Bangladesh yang masuk ke negara ini sebagai pekerja dan golongan pelarian etnik Rohingya. Penglibatan warga asing di seluruh rantaian bekalan berisiko membentuk kartel yang boleh menentukan harga sayur di pasaran.

Sudah tiba masanya kerajaan negeri bertindak lebih tegas menguatkuasakan undang-undang terkandung dalam  Kanun Tanah Negara (KTN) Bahagian 33A berkenaan sekatan pajakan tanah kepada bukan warganegara dan syarikat asing. Kesesuaian negara sumber bagi membekalkan tenaga kerja di sektor pertanian perlu dilihat semula. Pekerja dari Bangladesh misalnya sudah menguasai sektor pertanian sebagai majikan sama seperti di sektor peruncitan dan pembinaan.

Perkara ini tidak berlaku semasa di dekad 90-an dan awal 2000-an ketika mereka hanya bekerja di stesen minyak. Oleh itu, bilangan pekerja Bangladesh di sektor pertanian wajar dihadkan dan pengambilan baharu dihentikan. Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) warga asing yang didapati sudah tidak lagi mempunyai majikan kerana telah menjadi usahawan tani perlu dibatalkan serta merta.

 Bagi mengurangkan kebergantungan berterusan kepada pekerja asing di sektor ini, usaha perlu dipertingkat bagi meremajakan sektor pertanian dengan menarik lebih ramai golongan belia menyertai sektor pertanian sebagai pelapis kepada generasi terdahulu. Sebaiknya pendedahan kepada bidang pertanian diperkenalkan sejak peringkat sekolah lagi dengan mempopularkan konsep kebun di dalam sekolah di seluruh negara.-UTUSAN

 

M. FAISAL

Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN