SAUDARA PENGARANG,
KESATUAN Pelajar UIAM (IIUMSU) menggesa pihak berautoriti untuk mengutamakan pelantikan rektor baharu yang menjiwai nilai dan semangat UIAM, yang mampu memahami dan menjunjung visi universiti untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan pendidikan antarabangsa terkemuka yang berusaha memulihkan peranan dinamik dan progresif umat Islam dalam semua cabang ilmu untuk manfaat semua umat manusia, sebagaimana yang diinspirasikan oleh pandangan sarwa alam tauhid dan falsafah Islam tentang kesatuan ilmu serta konsep pendidikan holistik.
Pelantikan rektor haruslah berdasarkan merit dan kelayakan dan diharapkan bebas daripada campur tangan politik dan sebarang percubaan melobi daripada pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab dalam proses pemilihan tersebut bagi menggambarkan akauntabiliti dan tatakelola yang baik.
Kesatuan Pelajar UIAM berharap rektor akan datang bukan sahaja menangani isu-isu mendesak yang dinyatakan dalam laporan audit baru-baru ini namun juga menerajui reformasi menyeluruh universiti untuk meningkatkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan terulung.
Kepimpinan yang teguh, berani dan juga berprinsip sangat diperlukan bagi seorang rektor untuk mengatasi segala isu yang membimbangkan dari pelbagai aspek seperti keadaan fasiliti yang rosak dan prasarana yang usang, kualiti pengurusan dan perkhidmatan di universiti, dan juga prestasi universiti harus dipertingkatkan di pentas global.
Tambahan pula, rektor baharu perlu mengambil berat terhadap keperluan dan kebajikan masyarakatnya, khususnya mahasiswa. Kesatuan Pelajar UIAM juga mengharapkan seorang rektor yang bukan sahaja memahami, tetapi komited dalam memulihkan kedudukan universiti di mata dunia. Antara yang lebih utama adalah untuk menghidupkan semula ruh islamisasi yang menjadikan UIAM sebuah mercu keilmuan islam dan kecemerlangan intelektual.
Rektor seterusnya juga diharapkan dapat menjadi penyokong tegar bagi gagasan kesatuan mahasiswa, yang telah dihidupkan kembali melalui penubuhan Kesatuan Pelajar UIAM pada tahun 2019. Gagasan ini telah lama terkubur sejak lebih 50 tahun lalu susulan penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada April 1971 dan sehinggalah ia dihidupkan semula semasa Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.
Kesatuan Pelajar UIAM menjadi satu-satunya kesatuan yang beroperasi secara autonomi penuh dan bebas dari kongkongan pengurusan Hal Ehwal Pelajar universiti. Ia merupakan langkah penting kearah pemerkasaan mahasiswa yang harus didukung oleh Ketua Institusi Pendidikan ini yang seterusnya. Rektor yang baharu harus memperkasakan mahasiswa dengan autonomi terpimpin dan kebebasan akademik, dan seharusnya memastikan universiti ini terus memupuk persekitaran yang menyokong warga keseluruhannya.
Kesatuan Pelajar UIAM menegaskan pendirian kepada pihak berautoriti yang terlibat bagi memastikan proses pelantikan ini haruslah berpandukan nilai integriti. Malah turut menyatakan beberapa fakta dalam respon balas mereka.
Oleh demikian, Kesatuan Pelajar UIAM menggesa agar rektor yang baharu dilantik dengan nilai meritokrasi dan tatakelola yang baik. Kekosongan yang berpanjangan dalam peranan penting ini sejak 31 Julai lalu amat membimbangkan.
Sebagai mahasiswa, kami secara langsung terjejas oleh jurang kepimpinan ini, dan kami percaya bahawa tindakan segera adalah perlu untuk memastikan masa depan universiti.
Justeru, IIUMSU menyeru semua pihak termasuklah mahasiswa, staf akademik, staf sokongan, alumni UIAM dan semua pihak berautoriti untuk bersatu hati membina semula universiti yang dahulunya megah di mata dunia dan berlandaskan prinsip dan matlamat pendidikan demi kebaikan semua. – UTUSAN
KESATUAN PELAJAR UIAM










