SAUDARA PENGARANG,
Pada era globalisasi ini, kepimpinan muda dianggap sebagai nadi baharu yang memacu transformasi dalam pelbagai bidang seperti politik, perniagaan dan sosial. Pun begitu, tidak dapat dinafikan pemimpin muda seringkali menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan pendekatan bijak dan matang.
Dalam konteks ini, sangat penting bagi pemimpin muda untuk mengambil peluang untuk belajar daripada veteran yang memiliki pengalaman luas dan mendalam dalam sesuatu bidang.
Salah satu kelemahan utama yang sering dilihat dalam kalangan pemimpin muda adalah kekurangan pengalaman. Mereka mungkin cenderung membuat keputusan yang berisiko tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang. Ini sering kali disebabkan oleh semangat dan keinginan untuk mencapai kejayaan dengan cepat. Selain itu, pemimpin muda juga mungkin kurang kesabaran dalam menghadapi proses dan cabaran, yang mana ini memerlukan pemahaman mendalam dan strategi jangka panjang.
Pemimpin veteran, lebih memahami selok belok termasuk mengetahui bagaimana navigasi melalui kompleksiti dan dinamika dalam bidang mereka. Mereka juga lebih cenderung memiliki jaringan yang luas dan dapat menawarkan bimbingan serta nasihat yang berharga yang tidak dapat ditemui melalui buku atau kursus. Oleh itu, pemimpin muda harus mengambil kesempatan ini untuk belajar daripada mereka melalui mentorship atau kerjasama strategik.
Mempelajari kesabaran dan ketelitian dalam membuat keputusan adalah sesuatu yang boleh dipelajari daripada veteran. Mereka boleh menunjukkan pentingnya analisis menyeluruh dan berbincang dengan pelbagai pihak sebelum mengambil keputusan penting.
Veteran dengan pengalaman mereka dapat mengajar pemimpin muda bagaimana untuk kekal tenang dan rasional semasa situasi tegang. Mereka juga boleh memberi contoh bagaimana untuk mengendalikan konflik dalam kumpulan dengan cara yang membina dan produktif.
Penting bagi pemimpin muda untuk belajar tentang nilai kesederhanaan dan integriti daripada veteran. Veteran boleh memberikan panduan dan contoh bagaimana keutamaan kepada nilai-nilai ini dapat menjamin kejayaan yang lebih berkekalan dan dihormati.
Untuk memperbaiki kualiti kepimpinan muda, organisasi dan institusi harus memberikan platform untuk interaksi dan pembelajaran bersama antara generasi muda dan tua. Program mentorship, bengkel kepimpinan, dan sesi dialog antar generasi dapat membantu memperkukuhkan hubungan ini dan mempercepatkan pemindahan ilmu pengetahuan dan pengalaman. – UTUSAN
CIKGU MINHAT DAUD
Parit Sulong, Batu Pahat










