SAUDARA PENGARANG,
ANTARA memilih antara kewajipan dan kebajikan, saya melihat langkah Kementerian Pertahanan menyediakan peruntukan RM400 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sebagai lebih daripada satu kebajikan.
Malang sekali, sesetengah masyarakat umum masih berpandangan pembinaan RKAT adalah sekadar langkah populis kementerian dan kerajaan, menggunakan angkubah ‘kebajikan’ sebagai satu premis bagi mengambil hati dan sokongan Anggota Tentera Malaysia (ATM).
Warga ATM tidak hanya berkewajipan untuk bertugas pada waktu ‘perang’ atau ‘konflik’ semata-mata, namun kesiapsiagaan mereka turut dalam mendepani pelbagai ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Pelaburan jangka masa panjang tersebut termasuklah memberikan rumah dan tempat tinggal yang bermaruah lagi berkemampuan kepada anggota ATM.
Walaupun begitu, pelaburan yang berbentuk ‘kebajikan’ ini mungkin dilihat tidak menguntungkan atau tidak mendatangkan faedah ekonomi meluas kepada negara selepas mengambil kira kos yang diperlukan dan jumlah penerimanya yang terhad.
Namun, dalam perspektif Military Keynesianism, peruntukan pertahanan yang bertambah secara langsung meningkatkan tahap kebajikan anggota tentera.
Tahap kebajikan anggota tentera yang membaik pula mempunyai korelasi langsung terhadap penambahbaikan kecekapan dan kompetensi anggota tentera sesebuah negara secara keseluruhannya.
Seperti contoh, mengambil pengalaman Tentera Nasional Indonesia (TNI), wujud kepentingan dan kesegeraan bagi pemerintah negara itu meningkatkan peruntukan pertahanan agar kebajikan anggotanya sentiasa terjamin.
Oleh itu, peruntukan ketenteraan yang bertambah hendaklah dilihat sebagai strategi serampang tiga mata selain menjamin kesiapsiagaan anggota serta pada masa sama meningkat kompetensi anggota tentera itu sendiri.
Dalam Belanjawan 2024, RM400 juta diperuntukkan kepada ATM bagi tujuan menyelenggara dan membaik pulih RKAT sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada 28,808 unit rumah di 48 kem seluruh negara.
Kementerian Pertahanan secara menyeluruh menyasarkan sebanyak 8,000 unit RKAT bakal dibina menjelang 2025 dan pada waktu ini, sebanyak 4,700 unit RKAT disiapkan selain sedia untuk dihuni anggota.
Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa penyediaan 8,000 unit RKAT menjelang 2025 dan jumlah peruntukan berkenaan kepada ATM bukanlah satu tindakan yang membazir mahupun merugikan.
Ia juga bukanlah satu bentuk ‘kebajikan’ tetapi wajar juga dilihat sebagai satu bentuk kewajipan dan keperluan yang penting bagi membina kecekapan anggota ATM dalam mendepani cabaran keselamatan serta pertahanan masa hadapan yang kian mencabar.
Dengan memberikan perhatian khusus kepada RKAT, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan betapa pentingnya inisiatif ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota ATM.-UTUSAN
VETERAN PENCEN
Kuala Lumpur









