Letak calon muda bukti kesungguhan meremajakan parti

Letak calon muda bukti kesungguhan meremajakan parti

umno
PEMILIHAN calon dari kalangan pemimpin muda juga sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada ahli parti betapa UMNO kini sedang melakukan transformasi parti bukan sekadar ‘cakap-cakap’ atau omongan kosong setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 14 September nanti, proses penamaan calon bakal menentukan siapakah yang bakal membawa panji UMNO-Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan. Parti ini bakal ditentang calon dari Perikatan Nasional (PN). Ramai pemerhati dan penganalisis politik menjangkakan BN tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ditetapkan hari pengundiannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 September depan.

Pemilihan calon dalam kalangan orang muda antara faktor penting perlu diberi pertimbangan oleh pucuk pimpinan UMNO-BN pada PRK Mahkota nanti kerana 52 peratus daripada lebih 66,000 pengundi adalah terdiri daripada belia berusia bawah 39 tahun.

UMNO seharusnya menjadikan agenda mempertahankan kerusi Mahkota ini sebagai medan terbaik untuk menguji kekuatan sebenar jentera Pemuda UMNO yang bakal mewarisi dan menjadi pelapis kepada kepimpinan dalam parti kerana dengan cara ini rakyat akan dapat melihat secara jelas kesungguhan UMNO untuk meremajakan dan mentransformasikan parti seiring dengan pertambahan golongan muda yang layak sebagai pengundi.

Pemilihan calon dari kalangan pemimpin muda juga sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada ahli parti amnya dan pengundi putih UMNO khasnya betapa UMNO kini sedang melakukan transformasi parti bukan sekadar ‘cakap-cakap’ atau omongan kosong setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Sinonimnya anak muda dengan tenaga, kudrat dan kreativiti serta dibimbing dan didorongkan oleh pemimpin berpengalaman memungkinkan kemenangan mempertahankan kerusi Mahkota diterjemahkan pada 28 September depan. UMNO perlu memperluaskan pengaruh dalam kalangan anak muda yang merupakan generasi penentu masa depan negara. Sudah tiba masa dan ketikanya UMNO menyantuni aspirasi orang muda dalam usaha membina semula parti yang lebih kukuh untuk kekal relevan.-UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ Said
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis
Arau, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN