Kurangkan polarisasi agama, galakkan perpaduan

Kurangkan polarisasi agama, galakkan perpaduan

PENDIDIKAN inklusif menggalakkan pelajar dari pelbagai latar belakang agama dan etnik belajar bersama-sama membantu mengurangkan prejudis dan meningkatkan perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah keriuhan pasaran global dan hiruk-pikuk politik tempatan, ada satu elemen yang seringkali dilupakan tetapi amat signifikan – polarisasi agama.

Polarisasi ini tidak hanya meruncingkan jurang sosial, tetapi turut menghambat aliran ekonomi. Mengapa isu ini penting? Kerana di sebalik retorik kebebasan dan kemakmuran, ketegangan agama mampu menjadi duri dalam daging yang membantutkan pertumbuhan ekonomi.

Susulan tragedi 13 Mei, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971 bertujuan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Walaupun berhasil meningkatkan taraf hidup orang Melayu, ia juga memperdalam polarisasi etnik dan diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu dalam beberapa sektor. Dalam konteks ini, polarisasi agama dan etnik saling berkait, menambah kompleksiti masalah ekonomi.

Polarisasi agama juga menumbuhkan diskriminasi dalam sektor pekerjaan. Bakat dan kemahiran tidak lagi menjadi kayu ukur utama, sebaliknya agama menjadi penentu.

Seorang yang berbakat dari kumpulan minoriti mungkin terpinggir, tidak diberi peluang untuk menyumbang kepada ekonomi. Ini bukan sekadar teori; ia adalah realiti menyakitkan. Kehilangan potensi produktiviti ini akhirnya merugikan.

Kita boleh jenguk negara-negara seperti Iraq dan Syria. Konflik sektarian berpanjangan menyebabkan kemusnahan infrastruktur, pemindahan penduduk besar-besaran dan penurunan pelaburan, akhirnya mengakibatkan kemerosotan yang teruk. Polarisasi agama di sini bukan sekadar isu sosial tetapi tragedi ekonomi. Keruntuhan akibat konflik agama menunjukkan betapa pentingnya perpaduan dan toleransi dalam memastikan kestabilan ekonomi.

Adapun begitu, Indonesia pula memilih pendekatan berbeza selepas rusuhan etnik pada akhir 1990-an. Dengan memperkenalkan dasar inklusif yang menggalakkan kesatuan nasional, Indonesia berjaya mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi walaupun masih menghadapi isu ketegangan agama. Usaha kerajaan untuk mempromosikan pluralisme dan toleransi menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil.

Justeru, penting bagi kerajaan dan masyarakat berusaha mengurangkan polarisasi agama dan mempromosikan perpaduan. Dasar yang inklusif, adil dan berorientasi kesejahteraan adalah kunci untuk mencipta persekitaran kondusif bagi pertumbuhan ekonomi seterusnya.

Perpaduan sebenar bukan hanya pada retorik, tetapi pada tindakan untuk memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang agama, mendapat peluang yang adil untuk menyumbang kepada pembangunan negara.-UTUSAN

NUR AFIRAH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN