Kini masa pupuk pelajar berjiwa pencipta

Kini masa pupuk pelajar berjiwa pencipta

MINAT pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) perlu dipupuk sejak di sekolah rendah bagi membolehkan mereka memahami serta menjiwai bidang tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era teknologi yang berkembang pesat, pendekatan pendidikan yang menumpukan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) semakin menjadi keperluan. Usaha untuk memupuk pelajar berjiwa pencipta bukan sahaja penting dalam meningkatkan daya saing negara, tetapi juga untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran yang relevan dengan ekonomi moden.

Bagi mencapai matlamat ini, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan, bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pada peringkat sekolah rendah, kerajaan harus memastikan asas STEM diajar dengan cara yang menarik dan praktikal. Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran perlu disediakan agar pelajar dapat berinteraksi secara langsung seperti melalui projek mini, eksperimen dan program pembelajaran luar kelas. 

Penggunaan alat bantu mengajar seperti robotik asas dan kit eksperimen juga boleh merangsang minat pelajar terhadap bidang-bidang teknikal ini. Selain itu, guru-guru harus diberikan latihan yang mencukupi untuk memahami pendekatan pengajaran STEM yang lebih kreatif dan berinovasi.

Di peringkat sekolah menengah, subjek berkaitan seperti pengaturcaraan, reka bentuk teknologi dan kejuruteraan harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum teras. Pusat STEM di sekolah menengah boleh ditubuhkan untuk memberi ruang kepada pelajar bereksperimen dengan teknologi terkini seperti pencetakan 3D, internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI). Selain itu, penekanan kepada pembelajaran berbentuk projek perlu dipergiatkan bagi membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dunia sebenar dengan menggunakan pengetahuan STEM.

IPT pula harus berperanan sebagai inkubator inovasi. Kerajaan perlu menyediakan dana yang mencukupi untuk penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan kerjasama antara universiti, industri dan sektor kerajaan.  Pelajar yang cemerlang boleh diberikan peluang untuk menjalankan projek-projek penyelidikan yang berimpak tinggi, di bawah bimbingan pakar industri dan akademik. 

Selain itu, penubuhan makmal inovasi dan pusat keusahawanan di kampus universiti juga penting untuk menyokong pelajar dalam menghasilkan produk atau teknologi yang boleh dipasarkan.

Kerjasama antara kementerian juga amat penting dalam usaha memupuk pelajar berjiwa pencipta. Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memastikan kurikulum dan pendekatan STEM yang relevan disediakan di sekolah.

Selain itu, Kementerian Kewangan harus memainkan peranan dalam menyediakan dana untuk membiayai program dan inisiatif berkaitan STEM, terutamanya untuk sekolah-sekolah luar bandar yang mungkin kekurangan sumber.

Peranan sektor swasta juga tidak boleh diabaikan. Syarikat-syarikat teknologi, misalnya, boleh menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar bagi memberi pendedahan kepada dunia kerja sebenar. Mereka juga boleh menganjurkan pertandingan inovasi dan menawarkan hadiah berupa biasiswa atau peluang latihan kepada pelajar yang berprestasi cemerlang dalam bidang STEM. Inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar mengasah kemahiran praktikal, tetapi juga membuka peluang kepada sektor swasta untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu.

Selain itu, pihak kerajaan perlu menekankan kepada pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan. Bagi memastikan usaha-usaha ini berjaya, kerajaan perlu mengadakan pelan tindakan jangka panjang yang jelas dan teratur. Dasar-dasar berkaitan pendidikan STEM perlu sentiasa dikaji dan dikemas kini mengikut keperluan semasa, agar pelajar sentiasa didedahkan kepada teknologi terkini. –UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MOHD. HELMI

SMK  Dato’ Sulaiman, Parit Sulong

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN