Indeks Zakat piawaian baharu pelaburan beretika

Indeks Zakat piawaian baharu pelaburan beretika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2023, kutipan zakat di Selangor dan Wilayah Persekutuan mencatatkan RM 2.155 bilion, satu angka yang hampir menyamai belanjawan tahunan Negeri Sembilan.

Peningkatan kutipan zakat ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan usaha yang lebih giat dalam pelaporan zakat.

Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor mempergiat penambahbaikan kecekapan pengagihan zakat dengan memanfaatkan teknologi papan pemuka (dashboard), blok rantai (blockchain) dan kecerdasan buatan (AI) melalui kolaborasi dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Inisiatif sebegini bukan sahaja memudahkan proses pelaporan, tetapi juga memastikan ketelusan dan ketepatan dalam pengurusan zakat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem zakat.

Rentetan daripada usaha pendigitalan dan peningkatan ketelusan ini, Bursa Malaysia melancarkan Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia (Indeks Zakat) bulan lalu. Inovasi kewangan ini bukan sahaja menggalakkan pelaburan beretika tetapi juga meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab sosial korporat.

Apa yang membezakan Indeks Zakat ialah statusnya sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Inovasi ini bukan sahaja mengabsahkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam tetapi juga meletakkan negara sebagai hab untuk inovasi kewangan Islam.

Secara ringkasnya, Indeks Zakat merupakan indeks berwajar permodalan pasaran yang menjejak prestasi 200 syarikat terbesar di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Namun begitu, kita perlu memahami cara indeks ini diselenggarakan untuk mengetahui sepenuhnya kesan Indeks Zakat yang lebih menyeluruh.

Indeks Zakat bakal disemak sebanyak dua kali setahun (setiap Jun dan Disember), bagi memastikan syarikat-syarikat yang tersenarai kekal istiqamah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Aspek utamanya ialah saringan keuntungan yang melibatkan penilaian syarikat berdasarkan pendapatan bersih selama tiga tahun terakhir. Saringan ini memastikan hanya syarikat dengan rekod keuntungan yang konsisten dimasukkan.

Namun begitu, Indeks Zakat bukan sekadar alat kewangan. Indeks ini juga mewakili langkah penting ke arah menyepadukan pertimbangan etika ke dalam keputusan pelaburan. Usaha ini menetapkan tertib taraf bagi kepentingan pelaburan beretika dalam memacu impak sosial yang positif.

Pelancaran Indeks Zakat boleh menginspirasikan lebih banyak syarikat untuk meningkatkan standard etika mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran secara keseluruhan.

Dengan menyepadukan prinsip zakat ke dalam instrumen kewangan arus perdana, Indeks Zakat mempromosikan nilai kewangan Islam di peringkat global sekaligus menarik pelabur tempatan dan antarabangsa yang komited terhadap pelaburan beretika.

Secara tidak langsung, pengenalan Indeks Zakat mampu meningkatkan permintaan terhadap produk pelaburan beretika.

Lantaran itu, apabila lebih banyak syarikat menyedari kepentingan amalan beretika, kita bakal menyaksikan peningkatan bilangan syarikat yang layak untuk dimasukkan ke dalam Indeks Zakat yang menatijahkan kepelbagaian indeks dan kelestariannya.

Indeks Zakat merupakan kemajuan yang ketara dalam pelaburan beretika. Dengan memberi tumpuan kepada keuntungan serta sumbangan zakat korporat, Indeks Zakat menyediakan penanda aras yang utuh, bertanggungjawab secara sosial untuk pelabur di Malaysia dan global.

Justeru, semua pihak termasuk pelabur, syarikat korporat dan pihak berkuasa perlu berganding bahu dalam usaha memperkukuh amalan pelaburan beretika ini.

Ayuh kita jadikan Indeks Zakat sebagai inspirasi untuk melangkah ke hadapan dengan menggabungkan keuntungan kewangan dan tanggungjawab sosial dalam setiap keputusan pelaburan kita.-UTUSAN

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI

Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN