SAUDARA PENGARANG,
HARI Malaysia dan Hari Kemerdekaan adalah dua peristiwa penting dalam sejarah negara tetapi sering kali sambutan Hari Malaysia tidak mendapat perhatian yang sama seperti Hari Kemerdekaan sedangkan berperanan penting dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun, memperingati penyatuan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura pada 1963 untuk membentuk Malaysia.
Walaupun Singapura kemudiannya keluar dari Malaysia pada 1965, Hari Malaysia tetap penting kerana ia menandakan permulaan kepada pembentukan sebuah negara yang lebih besar, pelbagai dan lebih kompleks. Jadi, ia sepatutnya diberi pengiktirafan yang sama penting seperti Hari Kemerdekaan.
Salah satu sebab utama mengapa Hari Malaysia perlu disambut dengan sama pentingnya adalah kerana ia mencerminkan perpaduan negara.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, hari tersebut sepatutnya menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dan kesefahaman antara rakyat.
Selain itu, hari itu juga mengingatkan pembentukan Malaysia bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi melalui proses yang penuh dengan rundingan politik dan kesepakatan antara negeri-negeri yang menyertainya.
Ini adalah simbol kekuatan kerjasama dan kesepaduan antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.
Selain itu, Hari Malaysia juga adalah masa yang baik untuk mengingatkan generasi muda tentang sejarah sebenar pembentukan negara.
Jadi, pendidikan mengenainya perlu diperkasakan di sekolah-sekolah agar pelajar memahami bahawa pembentukan Malaysia adalah satu proses yang melibatkan pelbagai pihak dan kompromi politik.
Generasi muda perlu diajar bahawa kemerdekaan dan penyatuan adalah dua aspek penting dalam pembinaan negara, dan kedua-duanya perlu dihayati dengan sama penting.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sambutan Hari Malaysia diraikan dengan semangat yang sama seperti Hari Kemerdekaan. Sambutan yang lebih meriah dan meluas boleh diadakan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk memperlihatkan kepentingan Hari Malaysia dalam memperkukuhkan perpaduan nasional.
Perarakan, pertunjukan kebudayaan, dan program-program kesedaran boleh dianjurkan untuk menarik perhatian masyarakat dan memperingati kepentingan peristiwa bersejarah ini.
Hari Malaysia bukan sekadar sambutan penyatuan politik, tetapi juga simbol kepada perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya. Dengan memberi penekanan yang sama kepada sambutan Hari Malaysia, kita boleh memastikan bahawa rakyat Malaysia terus menghargai kepelbagaian dan bekerjasama untuk masa depan yang lebih harmoni dan makmur. – UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










