Cuti kelepasan am bertindih wajar dibawa ke hadapan

Cuti kelepasan am bertindih wajar dibawa ke hadapan

PARA pekerja akan berasa kerugian kerana tidak memperoleh cuti sebagaimana yang sepatut dan sewajarnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH hari Isnin, 16 September 2024 telah diisytiharkan hari kelepasan am sempena Hari Malaysia mulai tahun 2010 iaitu sewaktu pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tahun ini sudah masuk tahun ke-15 ia dilaksanakan.

Namun begitu, ada suatu kelainan kali ini memandangkan tarikh Hari Keputeraan Nabi Muhammad pada setiap 12 Rabiulawal jatuh pada hari yang sama dengan Hari Malaysia tersebut.

Tiada cuti gantian secara automatik diberikan pada hari bekerja Selasa, 17 September 2024 walaupun berlaku pertindihan hari kelepasan am sempena Hari Keputeraan Nabi Muhammad (Maulidur Rasul 1446) dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Kenyataan yang diumumkan dalam laman sesawang Bahagian Kabinet, Perlembagaan Dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri menyatakan, ia berikutan Akta Hari Kelepasan 1951 tidak memperuntukkan cuti gantian secara automatik bagi hari-hari kelepasan am yang bertindih atau jatuh pada hari bekerja yang sama.

“Meskipun demikian, kerajaan boleh menetapkan suatu hari lain untuk diterima sebagai hari kelepasan am, sekiranya perlu,” menurut pengumuman itu.

Dalam perkembangan yang sama, pihak Kerajaan Persekutuan Malaysia dalam suatu kenyataan menerusi Kenyataan Media Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia pada 1 Ogos 2024 yang lalu menyatakan Hari Malaysia merupakan cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja dan tidak boleh diganti dengan tarikh lain. Manakala Hari Keputeraan Nabi Muhammad merupakan hari cuti umum pilihan.

“Mana-mana majikan sektor swasta yang memilih cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad sebagai hari kelepasan am syarikat hendaklah menggantikan cuti tersebut pada hari Selasa, 17 September 2024 sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 60D(1) Akta Kerja 1955.”

“Walau bagaimanapun, majikan boleh dengan persetujuan pekerja untuk menggantikan cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad tersebut pada hari lain (selain 17 September 2024) sebagaimana peruntukan Seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955,” kata kenyataan media tersebut.

Kerajaan Persekutuan dicadangkan meminda dan menambah suatu klausa agar jika berlaku pertindihan cuti kelepasan am secara serentak maka, hari berikutnya dijadikan cuti am.

Ini agar, tidak terjadi rasa tidak puas hati rakyat yang bekerja kerana gagal memperoleh cuti am sedangkan pada asalnya ia adalah dua hari cuti am yang berbeza.

Para pekerja akan berasa kerugian kerana tidak memperoleh cuti sebagaimana yang sepatut dan sewajarnya. Sekurang-kurangnya, cuti yang diberikan dapat dimanfaatkan untuk berehat, mengadakan majlis kenduri atau pertemuan keluarga, sanak-saudara dan organisasi.

Kita perlu melihat daripada sudut keseimbangan antara kerja dan rehat selain faedah kehidupan berkeluarga, kemanusiaan dan sebagainya.

Seperkara lagi, jika ada kemampuan dan keazaman politik yang tinggi, kerajaan boleh sahaja mengusahakan cuti am dua hari tersebut. Pengalaman kerajaan Negeri Johor misalnya, mengusahakan dan mengisytiharkan cuti am yang jatuh pada setiap Jumaat dibawa ke hari Ahad berikutnya berikutan negeri itu kembali memilih cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu berbanding dengan Sabtu dan Ahad selama beberapa tahun sebelumnya. – UTUSAN

SHAHRUN NIZAM SHAHIR
Muar, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN