SAUDARA PENGARANG,
SUNGAI Klang adalah salah satu lembangan sungai yang paling penting di Malaysia, terletak di wilayah barat Semenanjung Malaysia, meliputi kawasan yang luas termasuk ibu kota Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Selangor. Sungai ini sepanjang kira-kira 120 kilometer, bermula dari hulu di kawasan pergunungan di Hulu Gombak dan mengalir hingga ke muara di Selat Melaka berhampiran Pelabuhan Klang.
Lembangan sungai ini yang berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang adalah sepanjang 21 kilometer. Terdapat lima taman perumahan dan 11 buah kampung yang berada di persisiran sungai ini.
Sungai Klang telah menjadi laluan penting bagi penduduk tempatan sejak zaman pra-sejarah. Penduduk awal menggunakan sungai ini sebagai sumber air, laluan pengangkutan, dan tempat mencari rezeki. Kawasan sekitar sungai juga kaya dengan tanah yang subur, sesuai untuk aktiviti pertanian.
Seiring dengan waktu, berlakunya pembangunan yang begitu pesat di sekitar persisiran Sungai Klang. Walaubagaimanapun, pertumbuhan ini juga membawa kesan negatif kepada alam sekitar seperti pencemaran sungai dan banjir sekiranya tidak dijaga dengan baik. Ia sama ada persekitaran sungai berpunca pencemaran atau di dalam sungai itu sendiri.
Program Cintai Sungai Klang Fasa 2 yang bertempat di Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Klang adalah satu inisiatif yang sangat penting dalam usaha kita memelihara dan memulihara alam sekitar, khususnya Sungai Klang yang merupakan salah satu sungai utama. Sungai ini bukan sahaja penting dari segi ekologi, tetapi juga memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian penduduk sekitar, terutamanya komuniti di Kampung Delek.
Ini merupakan program fasa kedua selepas kejayaan pelaksanaan fasa pertama yang telah diadakan sebelum ini di Kampung Sungai Sireh pada 8 Jun 2024, memberikan inspirasi dan motivasi untuk terus berusaha dan memperhebatkan lagi usaha dan program pemuliharaan sungai ini. – UTUSAN
UNIT MULTIMEDIA
Jabatan Komunikasi Korporat
Majlis Perbandaran Klang










