Bina Malaysia yang damai

Bina Malaysia yang damai

AGENDA keharmonian, perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia perlu diangkat untuk membangun Malaysia yang lebih bertamadun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Amal Islami Malaysia (MAIM) mengajak masyarakat Malaysia agar utuh memelihara kerukunan hidup bersama dalam aman dan damai serta mengelakkan daripada membangkitkan perkara-perkara sensitif dan rasa kurang senang dalam masyarakat.

MAIM memandang serius kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) baru-baru ini sebagai satu salah faham yang perlu diharmonikan.

MAIM berpandangan penempatan pegawai di pelbagai kementerian adalah satu langkah penyelarasan aktiviti keagamaan seperti mana seluruh dasar kerajaan yang lain memerlukan peranan pegawai. Langkah ini perlu memandangkan terdapat beberapa isu dan permasalahan berkaitan agama Islam yang memerlukan rujukan dan bimbingan khusus pegawai terlatih dan dalam konteks ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan pihak yang tepat untuk memainkan peranan ini.

Sebagai rakyat ingin hidup damai bersama, kita menerima kerajaan mempunyai hak dan tanggungjawab dalam mengurus kaedah pentadbiran yang tepat termasuklah dalam hal bantuan kewangan.

Peruntukan kewangan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah lama dipraktikkan oleh pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini dan kini adalah kesinambungan kepada usaha yang lalu. Membangkitkan dan mempolemikkan isu ini adalah suatu yang tidak berasas sedangkan bantuan untuk perkara-perkara lain kepada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat tetap diteruskan.

MAIM mengambil positif terhadap usaha kerajaan dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, agar diadakan pertemuan dengan pihak terbabit dalam menerangkan isu yang ditimbulkan.

MAIM tetap konsisten mengangkat agenda keharmonian, perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia. MAIM menyeru budaya dialog sihat, beradab dan berfakta ke arah membangun Malaysia lebih bertamadun dan sejahtera selari dengan gagasan Malaysia Madani.-UTUSAN

DATUK HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN