Bila nak siap jambatan kedua Temerloh?

Bila nak siap jambatan kedua Temerloh?

KERJA-KERJA di Jambatan Kedua di Temerloh, Pahang perlu segera disiapkan ekoran menyukarkan pengguna jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA ingin memperkatakan tentang kemajuan kerja-kerja yang berkaitan dengan jambatan kedua di Temerloh, Pahang yang sehingga kini tidak menampakkan penyudahnya malahan kerja membaik pulih jambatan pertama pula sedang giat dijalankan.

Mengikut perancangan, jambatan kedua ini jangka siap pada Mac 2024 dan kini sudah lewat lebih lima bulan daripada perancangan asal. Saya tidak nampak ia boleh siap sepenuhnya dalam tahun ini kerana kerja-kerja pelebaran jalan di jambatan lama masih belum siap, tanah di bahu jalan masih tidak diratakan, penurapan jalan masih belum siap sepenuhnya, kerja-kerja membuat longkang dan pembentungan di persimpangan ke Bahau di bawah jambatan agak perlahan dengan timbunan tanah serta batu yang korek diletakkan di tepi jalan.

Jika dilihat perjalanan projek, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kerja-kerja yang dibuat agak lambat, longkang yang digali dibiarkan berhari-hari lamanya sehinggakan dipenuhi air hujan dan boleh mengakibatkan gerakan tanah selain merosakkan rumput serta bahu jalan yang telah siap dibina.

Persoalannya, mengapa kerja-kerja yang dibuat itu dibiarkan terhenti berhari-hari lamanya sehingga menyusahkan pengguna yang melalui jambatan ini. Saya melalui jambatan ini setiap hari dan dapat melihat perkembangan perjalanan projek jambatan kedua ini.

Pihak berkaitan dilihat mengabaikan keselamatan dengan membiarkan kon di lorong kanan di atas jambatan kedua walaupun kerja sudah disiapkan. Tidakkah ini membahayakan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal?

Keadaan permukaan jambatan kedua dilihat tidak rata terutama di bahagian hujung jambatan yang kelihatan mempunyai lekukan dan kereta yang melaluinya terlambung dan terhentak. Kelewatan menyiapkan kemudahan awam ini sudah tentu mengundang kesesakan lalu lintas terutamanya di waktu puncak dan lewat petang.

Saya merayu kepada pihak Menteri Kerja Raya agar membuat lawatan mengejut untuk kedua kalinya agar pembinaan jambatan kedua Temerloh ini dapat disegerakan. Diharapkan kerja-kerja pembaikkan jambatan lama seperti menurap permukaan serta mengecat kembali jambatan dan membina pintu gerbang untuk mencantikkan pintu masuk ke bandar Temerloh.-UTUSAN

PENDUDUK SEBERANG TEMERLOH
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN