Bantulah pelajar miskin yang cemerlang

Bantulah pelajar miskin yang cemerlang

Semoga tidak akan ada lagi para pelajar cemerlang tetapi miskin di negara ini yang terkandas di pertengahan jalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA menyokong penuh arahan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zamry Abd Kadir supaya semua pentadbir universiti di negara ini menerima masuk pelajar yang miskin dan daif untuk meneruskan pengajian mereka.

Ini sudah tentu memberi kelegaan kepada para pelajar yang cemerlang dalam pengajian di peringkat menengah tetapi terbantut untuk meneruskan pengajian ke universiti disebabkan keluarga daif, tidak mampu menjelaskan yuran pengajian.

Perkara tersebut berlaku ke atas seorang pelajar anak nelayan yang terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian di universiti kerana kemiskinan keluarga.

Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) apabila ia memperolehi keputusan cemerlang 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) 2024.

Diharap bukan sahaja kes Wan Nur’alya dapat diselesaikan, malah mungkin ramai lagi pelajar senasib dengan Wan Nur’alya, tetapi tidak diketahui kerana tidak dilaporkan oleh media.

Sebagai insan yang pernah melalui kemiskinan hidup keluarga yang menjadi nelayan di Pulau Pangkor, Zambry tidak mahu lagi mendengar kisah pelajar-pelajar cemerlang tidak dapat masuk ke universiti kerana tidak mempunyai wang.

Pihak pengurusan setiap universiti perlu menerima arahan Menteri Pendidikan Tinggi itu untuk menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan.

Semoga tindakan segera tersebut tidak akan ada lagi para pelajar cemerlang tetapi miskin di negara ini yang terkandas di pertengahan jalan pengajian mereka disebabkan kemiskinan.

Dalam satu klip videonya baru-baru ini, menteri tersebut berkata beliau masih ingat tentang kesusahan kerana beliau juga daripada latar belakang keluarga miskin.

Oleh sebab demikian, beliau tidak mahu kemiskinan dijadikan alasan para pelajar tidak mahu masuk universiti.

Marilah kita sama-sama berdoa agar setiap rakyat yang hidup dalam kemiskinan akan terus mendapat pembelaan dari kerajaan yang berjiwa prihatin. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN