Usah terjerat dengan dunia fantasi perkahwinan

Usah terjerat dengan dunia fantasi perkahwinan

SEBAGAI seorang muslim, institusi kekeluargaan adalah nukleus terpenting yang perlu dipertahankan sekiranya mahu melihat generasi masa hadapan yang cerah.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RUMAH tangga tidak berfungsi dengan baik kerana jangkaan yang tidak realistik. Ia disebabkan oleh pengaruh dan khayalan yang tidak berasas tentang kehidupan berkeluarga.

Ini terbukti apabila kadar perceraian tinggi dalam kalangan pasangan muda yang mempunyai anak adalah antaranya akibat mimpi-mimpi yang tidak terealisasi.

Ini termasuk faktor tidak mendapat percutian yang diidamkan, tidak dilayan dengan hadiah-hadiah seperti mana kehidupan yang ditonjolkan para pempengaruh dan pelbagai lagi kekecewaan melalui gambaran sempurna yang cuba diciptakan.

Hakikatnya, kebanyakan perkara yang dilihat itu adalah palsu atau cubaan membawa naratif yang indah khabar dari rupa.

Sinergi tenaga hasil perkongsian peranan suami dan isteri dapat menjayakan sebuah perkahwinan yang merupakan tanggungjawab besar dalam hidup seorang individu.

Dalam pada itu, ramai orang muda pada hari ini berbolak-balik dalam hasrat untuk mendirikan rumah tangga apabila menimbangkan konflik rumah tangga yang mengiringi sebuah perkahwinan. Perlu disedari, cabaran hidup sentiasa akan wujud kerana itu hukum alam kehidupan.

Terdapat segelintir orang muda merasakan perkahwinan sebagai hal yang sangat rumit untuk dihadapi. Hal ini benar sekiranya perkahwinan itu tidak diuruskan dengan baik melalui bekalan ilmu, amalan agama mahupun bantuan yang wajar.

Mereka yang memukul rata bahawa kehidupan selepas berkahwin sukar hanya menakutkan diri sendiri untuk berkahwin atau mendapatkan anak.

Masyarakat sekarang berada pada era serangan institusi kekeluargaan yang merangkumi isu rasa tidak mahu berkahwin, meletakkan peranan lelaki atau wanita bukan pada tempatnya, tidak mahu ada anak dan sebagainya yang kelak nanti berupaya merosakkan keseluruhan sistem kemanusiaan sendiri.

Sebagai seorang muslim, institusi kekeluargaan adalah nukleus terpenting yang perlu dipertahankan sekiranya mahu melihat generasi masa hadapan yang cerah.

Kehidupan keluarga yang harmoni memberi impak positif yang meluas dan mendalam terhadap pembangunan masyarakat serta negara.

Ia bukan sahaja membentuk individu yang berkualiti tetapi juga menyumbang kepada kestabilan sosial, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan budaya yang diperlukan untuk membentuk negara yang progresif dan berdaya saing.-UTUSAN

BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi
Korporat Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×