SPM: Pilih aliran sesuai untuk kejar cita-cita

SPM: Pilih aliran sesuai untuk kejar cita-cita

Dengan mengetahui aliran yang dipilih, pelajar dapat merancang masa depan akademik dan kerjaya mereka dengan lebih baik dan jelas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMILIHAN aliran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sesuai bagi pelajar perlu seawal tingkatan tiga adalah langkah kritikal dalam memastikan perjalanan akademik mereka berjalan seperti yang dicita-citakan.
Ia bukan sahaja mempengaruhi prestasi pelajar dalam peperiksaan tetapi juga memberi kesan kepada laluan kerjaya dan masa depan mereka.

Misalnya, pelajar yang bercita-cita untuk menjadi jurutera, perlu memilih aliran sains bagi SPM mereka. Dengan ini, pelajar lebih berstrategi membuat persiapan yang lebih intensif dalam mata pelajaran seperti Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Dengan mengetahui aliran pilihan mereka lebih awal, pelajar dapat memperuntukkan masa dan usaha yang mencukupi untuk menguasai subjek-subjek ini.

Dengan bantuan kaunselor dan guru, pelajar boleh menjalani ujian minat kerjaya dan penilaian kendiri untuk mengetahui aliran mana yang paling sesuai dengan keupayaan dan minat mereka.

Setiap aliran menawarkan peluang kerjaya yang berbeza. Sebagai contoh, aliran sains biasanya membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains tulen. Aliran sastera mungkin lebih sesuai bagi mereka yang berminat dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan.

Dengan mengetahui aliran yang dipilih, pelajar dapat merancang masa depan akademik dan kerjaya mereka dengan lebih baik dan jelas.
Memilih aliran seawal tingkatan tiga juga dapat mengelakkan pembaziran masa dan sumber. Perbincangan awal juga membolehkan keluarga memahami minat dan cita-cita pelajar, seterusnya membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat dan bijak.

Dengan persediaan akademik yang lebih berstrategi, kenal pasti minat dan bakat, serta perancangan kerjaya yang jelas, pelajar dapat mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan sumber, mengurangkan tekanan, meningkatkan keyakinan diri dan mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

Adalah penting bagi pelajar, guru, kaunselor dan ibu bapa untuk bekerjasama dalam membantu proses pemilihan aliran ini bagi memastikan kejayaan dan kesejahteraan pelajar dalam jangka masa panjang menepati cita-cita yang diimpikan. – UTUSAN

DR. MOHD SHAHIR YAHYA
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×