Selesaikan isu kadar pencen rendah diterima pesara GLC

Selesaikan isu kadar pencen rendah diterima pesara GLC

SELESAIKAN isu pencen sangat rendah yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang telah diswastakan pada tahun 1980-an. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri mengumumkan perubahan dalam kadar bayaran pencen susulan pelarasan gaji yang merupakan satu berita baik bagi kakitangan awam selepas kali terakhir dilaksanakan 13 tahun lalu.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) juga menyambut saranan Perdana Menteri agar sektor swasta mengambil langkah yang sama demi kebajikan pekerja masing-masing. Memandangkan gaji merupakan satu komponen penting dalam kehidupan kerja setiap pekerja, di semua peringkat dan sektor, kadar upah serta gaji yang sesuai dan sewajarnya mengikut perkembangan semasa dilaksanakan demi kepentingan semua.

UNI-MLC sektor swasta mengambil maklum nasihat Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia. Semua sedia maklum bahawa majoriti pekerja sektor swasta tidak dan belum menikmati pelarasan gaji sejak selepas pandemik Covid-19. Kebanyakan majikan menggunakan pelbagai alasan untuk tidak berbuat demikian.

Oleh itu, kami melihat sudah sampai masanya pihak sektor swasta melakukan tindakan konstruktif untuk memastikan adanya kenaikan dan pelarasan gaji untuk pekerja masing-masing. Langkah itu sudah pasti akan menaikkan semangat pekerja untuk bekerja dengan lebih baik, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Menyentuh mengenai kadar pencen, UNI-MLC juga berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, akan tampil menyelesaikan isu pencen yang sangat rendah diterima oleh pesara-pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah diswastakan pada tahun 1980-an.

UNI-MLC telah mengetengahkan isu ini kepada kerajaan sejak dua dekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada penyelesaian positif bagi menanganinya.

Untuk rekod, setakat ini, UNI-MLC membawa perkara ini untuk perhatian lima orang Perdana Menteri tetapi masih belum ada jalan penyelesaian.

Walaupun memorandum demi memorandum dihantar kepada kerajaan, namun tiada respons daripada kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.

UNI-MLC agak kecewa kerana perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai perdana menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Memandangkan pelarasan gaji telah diumumkan, sehubungan dengan itu, UNI-MLC meletakkan harapan agar perdana menteri akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah yang kini diterima oleh pesara-pesara agensi kerajaan yang diswastakan.

UNI-MLC berpandangan pesara seolah-olah sedang dianaktirikan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan sedangkan mereka juga banyak menyumbang kepada negara selaku modal insan penting dalam proses pembinaan negara.

Pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan dua peratus setiap tahun kini hidup di bawah paras kemiskinan. Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi. Rata-rata pesara perkhidmatan GLC menerima pencen serendah RM180 sebulan.

Keadaan menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Pesara-pesara terbabit kini tergolong dalam kategori B40.-UTUSAN

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN