SAUDARA PENGARANG,
DALAM usaha untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025, kerajaan negeri melancarkan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025) yang menggariskan inisiatif dan sasaran lebih jelas. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama US-ASEAN Smart Cities Partnership yang turut melibatkan bandar-bandar utama lain di Malaysia seperti Iskandar Malaysia, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sejak pelaksanaan SSAP 2025 pada 2020, kerajaan negeri mengenal pasti empat domain yang menjadi fokus utama, iaitu infrastruktur digital, kerajaan, ekonomi dan komuniti.
Infrastruktur digital berfungsi sebagai pengupaya kepada pelaksanaan domain-domain pintar lain, dengan penekanan pada penggunaan indeks bandar pintar yang diiktiraf di peringkat global.
Dalam satu kajian bersepadu yang dijalankan penyelidik Pasukan Delta, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tahap kepuasan rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak berwajib Selangor mendapati terdapat variasi yang ketara dalam respon rakyat. Hasil kajian menunjukkan inisiatif dalam domain infrastruktur digital, seperti hentian bas pintar, mendapat sambutan positif dengan indeks kepuasan yang tinggi.
Dalam domain komuniti pintar, inisiatif melibatkan perkongsian maklumat secara masa nyata mencatatkan tahap kepuasan tertinggi. Antara maklumat yang sering dijejak adalah lokasi berpenduduk yang berisiko wabak, penjajaran trafik dan aktiviti khidmat masyarakat.
Dari segi ekonomi, objektif utama adalah untuk meningkatkan rantaian sedia ada dan meneroka aktiviti ekonomi baharu berteraskan digital dan inovasi. Inisiatif penggunaan e-dompet mencatatkan tahap kepuasan tertinggi dan urusan transaksi pembayaran tanpa tunai semakin menunjukkan trend meningkat dalam kalangan pengguna di Selangor.
Namun, terdapat juga inisiatif lain yang menunjukkan tahap kepuasan yang rendah, seperti pangkalan data kerajaan yang selamat. Rakyat amat mengharapkan peningkatan dalam perkhidmatan kerajaan yang responsif. Dari sudut keselamatan penduduk, majoriti berpendapat kerajaan perlu meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) khususnya di kawasan-kawasan strategik bukan sahaja bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah malah bertujuan pemantauan banjir kilat dan menyurai trafik semasa waktu puncak atau hujan lebat.
Sebagai perbandingan inisiatif yang dilaksana oleh negara-negara lain yang bergerak menuju ke arah negara pintar, seperti Estonia amat menghargai penglibatan rakyat dalam proses perancangan bandar pintar negara mereka. Rakyat diberi peluang untuk memberikan maklum balas dan terlibat secara langsung dalam membuat keputusan, yang meningkatkan rasa memiliki dan kepuasan terhadap inisiatif yang dilaksanakan.
Di Selangor, kerajaan negeri menegaskan bahawa keperluan rakyat akan terus menjadi fokus utama dalam pelaksanaan inisiatif Smart Selangor. Kerajaan negeri juga serius dan komited dalam menangani isu-isu yang memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh pihak berwajib.
Dengan pelan strategik Smart Selangor yang sentiasa dipantau ini, Selangor bertekad untuk menjadi negeri pintar yang bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah akan juga meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan rakyat menjelang 2025 sekali gus bakal menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia. – UTUSAN
DR. MAS NORDIANA RUSLI
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya










